Lintah Darat Penuhi Kelantan, Tawar Pinjaman Kepada Mangsa Banjir
Lintah Darat Penuhi Kelantan, Tawar Pinjaman Kepada Mangsa Banjir | “Saya dapat laporan ah long sudah pergi ke Kelantan dan tawarkan bantuan pinjaman kepada mereka (mangsa banjir),” demikian kegusaran yang disampaikan Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam sidang media khas di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau menerima aduan daripada beberapa pihak mengenai kewujudan pemberi pinjaman wang tidak berlesen itu yang bertujuan untuk mengambil kesempatan di atas kesusahan mangsa banjir dengan menawarkan bantuan pinjaman.
“Saya dapat laporan ah long sudah pergi ke Kelantan dan tawarkan bantuan pinjaman kepada mereka (mangsa banjir). Jika mereka pergi pada ah long, kita tahulah apa nasib mereka selepas ini.
“Ramai rakyat Kelantan terkesan dengan bencana yang menimpa negeri itu. Bukan sahaja peniaga yang buka perniagaan secara kecil-kecilan malah peniaga besar turut menerima kesannya, mereka ini susah, jadi kita yang harus bantu mereka bukan ah long,” katanya lagi.
Sementara itu, memetik satu kenyataan Hussamuddin di laman mikro Twitternya, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan untuk memantau aktiviti haram itu dan membantu memulihkan segera ekonomi rakyat Kelantan.
“Ah long sudah mula bergerak tawar pinjaman mudah kepada mangsa banjir di Pantai Timur. Halang ini segera. Pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga kena bantu cepat,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian melaporkan saranan agar kerajaan antara Pas Kelantan dan Umno Kelantan bergabung untuk membina semula negeri yang seakan sudah menjadi 'ground zero' setelah dilanda banjir paling dahsyat kali ini.
Kata Hussamuddin, inilah masanya untuk mereka membuktikan keikhlasan bahawa perjuangan mereka berpaksikan rakyat, bukan kepentingan diri. Inilah masanya untuk mereka menunjukkan kesanggupan untuk berkorban demi rakyat.
Lintah Darat Penuhi Kelantan, Tawar Pinjaman Kepada Mangsa Banjir
Reviewed by Unknown
on
Saturday, January 03, 2015
Rating:
No comments