[SOAL/JAWAB] Risau Kekasih Beza Ideologi Politik

Monday April 01, 2013


Kebelakangan ini, isu politik banyak dibincangkan di mana-mana. Walaupun kurang meminati topik berkaitan politik, saya masih boleh menyimpulkan banyak elemen negatif dalam politik sekarang.

Namun, saya tidak mengatakan politik itu kotor cuma ada pemimpin yang tidak berintegriti, tapi bukanlah semua. 
Masalahnya, yang sedikit itu menimbulkan pelbagai masalah. Ini merisaukan saya kerana terlalu banyak perkara ‘pelik’ berlaku dalam senario politik sekarang. 

Malah, saya berdepan masalah apabila kekasih saya turut mempunyai pandangan berbeza politik. Saya serba salah untuk menerima cintanya kerana kami mempunyai latar belakang politik berbeza.

Beliau kuat berpegang kepada fahaman politiknya sehingga merisaukan saya kerana bimbang apabila berkahwin, perkara ini menghalang kebahagiaan rumah tangga kami.

Saya menyintainya dan sanggup melupakan dunia politik walaupun keturunan saya ahli politik berjaya. Melihatkan cara sesetengah pemimpin politik di negara, saya jadi takut. Bantulah saya Dr. 

Gadis Ideologi Politik 
Kelantan 


Dunia politik negara dirosakkan oleh sesetengah pemimpin yang tidak berintegriti dan hanya mementingkan diri. 

Namun, masih ramai ahli politik yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat. Dalam situasi di mana pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, semakin berleluasa politik tidak berintegriti yang cuba menjatuhkan kredibiliti pihak lawan. Perkara ini sepatutnya tidak menjadi amalan berpolitik di mana-mana pun. 

Ahli politik seperti pekerja dalam profesion lain mempu—nyai etika pekerjaannya. Berpegang kepada etika dan peraturan dalam bidang pekerjaan yang diceburi dapat membantu menghalang individu dari mengambil tindakan yang salah dari sudut moral dan integriti. 

Dr memahami masalah adik. Dalam sesuatu hubungan, terutamanya perkahwinan, faktor yang membina keharmonian rumah tangga seperti komunikasi yang baik, resolusi konflik, kehidupan seksual yang baik, berkongsi matlamat dan minat sama boleh berlaku walaupun pasangan tersebut mempunyai ideologi politik berbeza. 

Ada ahli psikologi yang mengatakan jangan kaitkan dengan fahaman politik dalam satu perkahwinan. Ini kerana dalam perkahwinan atau sesuatu hubungan, peranan seseorang adalah sebagai seorang suami, isteri, kakak, anak perempuan, anak lelaki, bukannya seorang ahli politik. 

Banyak elemen yang menyumbang kepada resipi kebahagiaan rumah tangga. Ia terletak kepada rasa cinta dan kasih sayang yang sentiasa membara, rasa kesyukuran dan ketakwaan, tanggungjawab, perasaan timbang rasa, kewangan yang mencukupi, kesediaan untuk memaafkan antara satu sama lain. 

Sebaik-baiknya, gunakan perbezaan pandangan politik ini untuk mempelajari sesuai yang baru mengenai pasangan adik. 

Susan Heitler, seorang ahli psikologi klinikal menjelaskan perbezaan ideologi politik tidak semestinya merosakkan sesuatu hubungan. 

Penulis buku The Power of Two: Secrets of a Strong & Loving Marriage menjelaskan apa yang penting bergantung kepada bagaimana kuatnya satu perhubungan dalam perkahwinan. 

Adik, individu yang taksub kepada sesuatu ideologi politik akan lebih melihat sesuatu dari satu sudut pandangan kehidupan. 

Ini menyumbang kepada perasaan berlebih-lebihan dalam memperjuangkan sesuatu ideologi politik. Apabila perkara ini tidak dapat dikawal, ia boleh menyumbang kepada perasaan kebencian dengan cara kehidupan pihak yang tidak sealiran dengan idea politiknya. 

Ahli politik atau individu yang matang mempunyai pegangan ideologi politik tersendiri. Ketika waktu yang sama, beliau menghormati anutan ideologi politik pihak lain tanpa memperkecilkan individu tersebut. 

Dr mengharapkan keadaan yang sama akan berlaku kepada adik dan teman lelaki di mana walaupun mempunyai latar belakang politik yang berbeza, tapi masih dapat menghormati antara satu sama lain.

Ada pepatah yang mengatakan ‘permulaan cinta adalah membiarkan orang yang kamu cintai menjadi dirinya sendiri, dan tidak merubahnya menjadi gambaran yang kamu inginkan. Jika tidak, kamu hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kamu temui dalam dirinya’. 

Jika teman adik benar-benar sayangkan adik, tentunya, dia tidak akan menjadikan ideologi politik yang berbeza sebagai batu penghalang kepada perhubungan kasih dan cinta adik berdua. 

Ya, pasangan boleh hidup bersama walaupun mempunyai latar belakang politik yang berbeza. Anutan politik adalah hak individu selagi mana ia tidak bercanggah dengan nilai hidup dan pegangan agama. 

Jika perbezaan politik ini dihormati, keharmonian rumah tangga akan terpelihara. 

Lagipun, perkahwinan adalah permulaan kepada satu kehidupan rumah tangga di mana dua insan yang datang dari pelbagai perbezaan berusaha untuk menyesuaikan dan mengharmonikan perbezaan-perbezaan tersebut. Ini termasuklah perbezaan dari segi politik.

Kaunseling Remaja 
(Dr Sapora Sipon)

[SOAL/JAWAB] Risau Kekasih Beza Ideologi Politik [SOAL/JAWAB] Risau Kekasih Beza Ideologi Politik Reviewed by Unknown on Monday, April 01, 2013 Rating: 5

No comments