[JIHAD] Anak Abu Jahal yang SYAHID


"Dahulu aku berperang untuk al-Latta dan al-Uzza. Sekarang, aku serahkan jiwaku dengan ikhlas kepada Allah"

Itulah kata-kata Ikramah iaitu anak lelaki Abu Jahal juga sepupu Rasulullah yang pada zaman kebatilannya begitu memusuhi Islam dan Rasulullah S.A.W.

Sifatnya yang sangat bencikan Rasulullah sama seperti bapanya, Abu Jahal sehingga para pengikutnya selalu memberi perumpamaan ‘ke mana kuah kalau bukan ke nasi’ untuk menggambarkan sifatnya saling tidak tumpah seperti Abu Jahal sebelum keislamannya. Ikrimah pernah membantu ayahnya melempar najis kepada Rasulullah S.A.W yang sedang solat di depan Kaabah.

Dia juga pernah membantu bapanya mencekik leher Rasulullah S.A.W. Malah dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh pembesar Quraisy, Ikramah mencadangkan supaya Rasulullah S.A.W dibunuh.

Setelah menjadi salah seorang pahlawan Quraisy, Ikramah menentang pahlawan Islam dalam peperangan Uhud dan Badar namun gagal membunuh Rasulullah S.A.W dalam kedua-dua peperangan tersebut. Dia akhirnya lari ke Yaman sebelum ke Habsyah. Di Yaman kehadirannya tidak diterima oleh Raja Yaman.

Semasa dalam pelayaran ke Habsyah, kapal yang tumpanginya dilanda ribut dan hampir karam. Semua penumpang dalam kapal itu berdoa termasuk Ikramah. Pada mulanya, dia berdoa kepada al-Latta dan al-Uzza namun doanya tidak berhasil meredakan ribut.

Akhirnya dia cuba berdoa kepada Allah, andainya selamat daripada bencana itu dia akan kembali ke Mekah untuk menemui Nabi Muhamad. Dengan izin Allah, ribut yang menggila akhirnya reda.

Apabila kembali ke Mekah, isterinya yang bernama Atikah tidak berjaya ditemui. Anak Ikramah, Omar mengatakan ibunya telah pergi mencari Ikramah bersama seorang hamba abdi bernama Laila. Ikramah yang mendengar kata-kata anaknya itu berasa risau akan keselamatan isterinya. Dia keluar semula dari Mekah untuk mencari Atikah.

Setelah menemuinya, beliau dikejutkan dengan berita Atikah yang telah memeluk Islam dan sanggup merayu kepada Rasulullah S.A.W untuk memaafkan suaminya. Di sinilah terpancar keikhlasan seorang isteri kepada suami yang dicintainya. Ikramah juga memeluk Islam setelah berjumpa dengan Rasulullah S.A.W dan menjadi salah seorang pahlawan Islam dalam beberapa peperangan.

Pengislamannya kadang-kadang dipertikaikan oleh beberapa pengikutnya yang lebih awal memeluk Islam daripadanya. Mereka mengatakan Ikramah ada udang di sebalik batu dan mengesyaki dia ingin membunuh Rasulullah S.A.W secara halus. Bagaimanapun, mereka silap apabila Ikramah menunjukkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Islam walaupun setelah kewafatan baginda.

Peperangan terakhir yang diikuti oleh Ikramah ialah Perang Yarmuk di mana dia mengetuai pasukan berani mati seramai 400 orang. Semangat pasukannya yang berkobar-kobar menegakkan kebenaran Islam menaikkan semangat jihad tentera Islam yang lainnya.

Mereka turut menyerbu ke arah musuh lalu berjuang bermati-matian sehingga beroleh kemenangan.

Ikramah telah menemui syahid di Yarmuk. Detik-detik ketika Ikramah menemui ajal agak menyayat hati.Tubuh Ikrimah dipenuhi lebih kurang tujuh puluh luka bekas tikaman pedang, tombak dan anak panah.

Turut gugur bersama Ikrimah dalam barisan perang tersebut adalah Haris bin Hisyam dan Suhail bin Amar.

Di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat yang hendak memberi air untuk mereka minum, akan tetapi mereka menolaknya. Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang daripada mereka, maka masing-masing berkata, “Berikan saja air itu kepada sahabat di sebelahku.” Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka bertiga menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan belum sempat meminum air itu.

Dalam riwayat mengatakan, “Sebenarnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, akan tetapi pada waktu ia akan meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun melihat ke arahnya pula, maka Ikrimah berkata, “Berikanlah saja air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku.” Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya. Akhirnya Suhail berkata, “Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku.”

Begitulah keadaan mereka, sehingga air tersebut tidak seorang pun di antara mereka yang sempat meminumnya, sehingga mati syahid semuanya.

- Ku ingin jua SYAHID itu Ya Rabb.. 

[JIHAD] Anak Abu Jahal yang SYAHID [JIHAD] Anak Abu Jahal yang SYAHID Reviewed by Unknown on Tuesday, March 19, 2013 Rating: 5

No comments