[SOAL/JAWAB] Anak Ke-2, Di Abai 5 Adik Beradik Lain
Saya berusia 43 tahun, anak kedua daripada enam beradik, manakala abang sulung berusia 44 tahun. Jarak usia saya dengan adik ketiga ialah tujuh tahun. Adik-adik saya perempuan dan semua berkarier dan sudah berkahwin.
Abang saya tidak pernah bersikap sebagai abang sulung, hanya sibuk dengan isteri dan anak-anaknya saja. Sudah lama saya menanggung derita perasaan dan sedih dengan perbuatan adik- beradik yang seperti membuang saya daripada hidup mereka.
Malah, jika hendak dihitungkan sudah bertahun-tahun mereka tidak menghubungi saya dan kalau berjumpa di majlis kenduri kahwin atau hari raya, itu pun secara tidak sengaja. Mereka selalu berkumpul di rumah abang saya, tetapi tidak pernah mengajak saya bersama.
Saya tidak ada salah apa-apa pun, tetapi suami kepada adik saya selalu buat sombong dengan saya, malah berjumpa di rumah ayah pun tidak menegur saya.
Ayah pula tahu sikap kurang ajar adik-adik terhadap saya, tetapi tidak menegur sikap mereka. Oleh kerana tiada yang menegur, mereka semakin tidak peduli. Pada mereka, seolah-olah saya tidak wujud di dunia ini.
Bagi memujuk hati saya, suami mengatakan di dunia ini saya cuma perlu taat padanya dan menjaga ibu bapa, jangan fikir soal adik-beradik yang sombong itu.
Saya sedih, sebab sewaktu mereka kecil saya bagai ibu pada mereka. Saya yang mengasuh, mencuci kain lampin dan buat susu mereka, tetapi sekarang balasan seperti ini yang saya terima. Hati saya terluka dan sekarang jika mereka datang pun, saya berasa sukar menerima mereka. Tolonglah nasihatkan saya Dr.
Insan terluka,
Kuala Lumpur
Agama sangat erat dengan kehidupan kita. Islam sudah menggariskan hubungan silaturahim antara sesama ahli keluarga berdasarkan darah keturunan. Islam juga menentukan setiap umat Islam bersaudara, iaitu berdasarkan hubungan agama.
Semuanya diatur supaya adanya hubungan baik sesama kaum dan seagama. Begitu juga Islam mengatur hubungan dengan mereka yang bukan Islam.
Secara umumnya, keluarga anda sudah mengabaikan hubungan silaturahim itu terutama dalam hubungan mereka dengan anda.
Bagaimanapun, mereka masih lagi mempunyai hubungan silaturahim yang baik dengan adik-beradik yang lain kecuali dengan anda.
Mungkin ada sesuatu yang terjadi antara anda dan adik-beradik yang lain sehingga hubungan menjadi renggang dan tidak baik sehingga tidak bertegur sapa dan tidak ziarah-menziarahi. Bagaimanapun, selagi agama dipegang, hubungan silaturahim masih terjalin.
Ada baiknya kita mulai dengan saling memberi maaf antara satu sama lain sekiranya ada salah dan silap. Begitu juga kita boleh memulai menziarahi adik-beradik atau sekurang-kurangnya menelefon mereka dengan bertanya khabar dan sebagainya.
Sekiranya ada yang memerlukan pertolongan, berilah bantuan sedapat mungkin. Perubahan boleh bermula dengan diri kita sendiri, Insya-Allah.
(Dr. Salam)
-Ada jugak camni.. MasyaALLAH~
[SOAL/JAWAB] Anak Ke-2, Di Abai 5 Adik Beradik Lain
Reviewed by Unknown
on
Sunday, February 10, 2013
Rating:
No comments