Friday, September 12, 2014
Kerana UPSR Bocor, Harapan Mereka Musnah


Adik Alisya Sofea

Kerana UPSR Bocor, Harapan Mereka Musnah | Selepas mengharungi persaingan dan cabaran demi cabaran serta menewaskan hampir 70 orang pelajar, Alisya Sofea berjaya merebut peluang ke Amerika Syarikat dalam satu rombongan yang dianjurkan oleh Kelab Aeroangkasa sekolahnya.

Namun, setelah pengumuman bahawa semua pelajar Tahun 6 perlu mengulang semula peperiksaaan UPSR bagi subjek Sains dan Bahasa Inggeris pada September 30, ia telah menghancur impian Alisya, pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (1), Kuala Lumpur, yang meletakkan harapan tinggi untuk menjejakkan kaki ke Amerika Syarikat.

Ini kerana, pelajar-pelajar yang terpilih akan berlepas ke Amerika Syarikat pada 19 September dan hanya akan kembali ke Malaysia pada 29 September, iaitu sehari sahaja sebelum hari peperiksaan ulangan tersebut.

“Saya tahu Alisya betul-betul bekerja keras untuk mengejar hasratnya untuk ke Amerika Syarikat tetapi tarikh kepulangan selepas lawatan ke sana tidak begitu sesuai,” kata Sheila Hambali, ibu Alisya yang berumur 41 tahun itu kepada Astro AWANI semalam.

“Perjalanan ke AS akan merangkumi lawatan ke Smithsonian (muzium dan pusat penyelidikan), lawatan ke beberapa  buah sekolah rendah dan peserta diperlukan menghadiri sebuah majlis makan malam yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Washington D.C.

“Saya telah cuba bertanya para guru sekiranya sebarang perubahan (tarikh lawatan) boleh dilakukan tetapi gagal kerana tiket penerbangan sudah tidak boleh ditukar,” kata Sheila yang juga telah memaklumkan bahawa terdapat empat lagi pelajar Tahun 6 termasuk anaknya yang sepatutnya dijadualkan bertolak ke Amerika Syarikat.

“Saya risau (sekiranya) selepas kepulangan, dia mungkin mengalami jet lag atau hilang tumpuan. Dia mungkin juga tidak dapat berseronok ketika lawatan itu kerana risau akan peperiksaan yang perlu didudukinya,” kata Sheila.

Sheila sedang memujuk anaknya, Alisya Sofea setelah dia mendapat tahu bahawa UPSR ditangguhkan
 Sheila memujuk anakya Alisya setelah mendapat tahu bahawa UPSR telah ditangguhkan

Adik Suria Zarina Huesen

Lain pula pengalaman Suriati Karina Mohamed Kamal, 37 yang berkata anak sulungnya, Suria Zarina Huesen terus menangis sebaik mendapat tahu bahawa kertas Sains UPSR telah ditunda.

“Saya dan suami saya sepatutnya membawa anak-anak kami ke Melaka pada hujung minggu ini sampai hari Selasa memandangkan cuti panjang sempena Hari Malaysia. Anak-anak kami teringin sangat hendak melawat kandang arnab. Nampaknya perjalanan ke negeri bersejarah itu perlu ditangguhkan."

Suriati Karina berkata bahawa pelajar-pelajar Tahun 6 ini sudah menempuh pelbagai rintangan untuk dilalui.

Walau bagaimanapun, ibu yang optimis itu menganggap bahawa terdapat rahmat di sebalik kejadian itu kerana anaknya mempunyai lebih masa untuk membuat persediaan.

“Perkara ini juga dapat memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar untuk bersedia berdepan dengan apa sahaja situasi  dan peluang kedua jarang muncul,” kata Suriati Karina, seorang ibu yang bermaustautin di Petaling Jaya. AstroAwani

0 comments:

Post a Comment