MH370: Semua Penumpang Pesawat "Bersih" - Ketua Polis Negara

MH370: Semua Penumpang Pesawat "Bersih" - Ketua Polis Negara | KUALA LUMPUR: Polis mendapati semua penumpang pesawat Malaysia yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi, tetapi masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang, kata Ketua Polis Negara  Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata siasatan terhadap 227 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 itu mendapati mereka "bebas" daripada empat elemen itu.

"Mereka didapati bersih daripada empat (elemen) itu. Ia (adalah) menurut prosedur (siasatan) kami sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan kualiti pasukan polis di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berdasarkan empat elemen itu terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

Khalid berkata setakat ini polis telah merekodkan kenyataan daripada lebih  170 individu berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu dan menurutnya polis akan merekodkan lebih banyak kenyataan.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Khalid berkata polis tidak akan mendedahkan sebarang maklumat hasil siasatan insiden itu kerana ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Maafkan saya, terdapat perkara yang kami tidak boleh dedahkan kepada anda; bukan saya tidak mahu dedahkannya kepada anda tetapi kami tidak boleh berbuat demikian. Kerana ia adalah penyiasatan jenayah, sedang berjalan; kami belum memuktamadkan segalanya dan kami masih menunggu laporan daripada pakar di luar negara dan dalam negara.

"Anda perlu faham. Saya fikir kami amat konsisten (tentang siasatan). Siapa tahu, mungkin akan ada pendakwaan kemudiannya. Jadi, ini akan menjejaskan kes pendakwa raya sekiranya kami mula mendedahkan hasil penyiasatan kami," katanya.

MH370: Semua Penumpang Pesawat "Bersih" - Ketua Polis Negara MH370: Semua Penumpang Pesawat "Bersih" - Ketua Polis Negara Reviewed by Unknown on Wednesday, April 02, 2014 Rating: 5

No comments