4,097 Remaja Jadi Bodoh Kerana CINTA

4,097 Remaja Jadi Bodoh Kerana CINTA | Statistik 2010 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes remaja lari dari rumah meningkat dengan angka mencatatkan sebanyak 4,097 remaja yang membabitkan seawal usia 13 hingga 17 tahun. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana kebanyakan kes ini membabitkan remaja.


Kita terpaksa akui, di usia remaja, kita lebih mudah hanyut disebabkan banyak perkara. Cinta, hasutan kawan dan sebagainya antara punca membuatkan hidup porak peranda. Penulis tidak menyalahkan Gen Y untuk berpasangan, asalkan tahu had dan berfikiran waras, tidak ada salahnya.


Remaja melayu paling ramai

Remaja berumur 14 hingga 17 tahun adalah golongan yang terbanyak dilaporkan hilang di negara ini. Remaja perempuan kaum Melayu pula mencatatkan statistik tertinggi hilang berbanding kaum lain, tetapi kelompok itu juga tersenarai dalam kadar tertinggi mangsa yang mudah dijumpai semula.

Berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan, Cawangan Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, secara kiraan rawak, dua daripada tiga laporan kes orang hilang membabitkan wanita.

Pensyarah Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nazirah Hassan berkata, negara kini berada di dalam perubahan ke arah kemajuan yang membawa arus hedonisme (fahaman bahawa keseronokan adalah matlamat utama dalam hidup), sekali gus memberi impak negatif kepada masyarakat khususnya remaja.


“Kalau kita lihat remaja yang dilahirkan kini di atas fasa yang penuh agresif memberontak, celaru identiti, mudah terpengaruh dan lebih kepada ke arah kebebasan,” katanya. Daripada kes kehilangan remaja perempuan berusia 14 tahun yang dilaporkan diculik dari sebuah hentian bas di Seksyen 9, Shah Alam 31 Januari 2012, sebelum berjaya diselamatkan Polis Thailand di Bangkok pada 11 Mac tahun sama, masalah ini datang secara berpakej. Ia bukan saja desakan dalaman diri, tapi sistem sosial dan keluarga menyumbang kepada remaja untuk lari daripada rumah.


“Ini bukan era menuding jari kepada remaja, menyalahkan kerajaan, pihak polis dan pihak lain kerana orang yang paling dekat dengan anak ialah ibu bapa. Ibu bapa harus belajar cara mendidik anak generasi Y, generasi moden sekarang tak boleh dididik dengan cara marah, rotan, dan sebagainya, tetapi sekarang ini ibu bapa harus menjadi kawan kepada anak-anak, tahu apa masalah mereka, benarkan anak bagi pendapat,” jelasnya.

Faktor berlaku masalah ini dikongsi Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din. Ulasnya, kajian terhadap 379 remaja yang pernah lari dari rumah menunjukkan mereka mengakui bahawa tekanan menyumbangkan kepada faktor utama, selain 105 kes membabitkan pengaruh kawan, 55 kes ingin bebas, 41 kes bergaduh dengan keluarga, 38 kes bosan dan 35 kes kurang kasih sayang.


Dua orang lari rumah setiap hari

Sebenarnya kes orang hilang tertinggi dicatatkan kerana cinta. Secara purata, sekitar 800 orang dikesan sanggup meninggalkan keluarga setiap tahun atau puratanya lebih dua orang setiap hari. Tidak hairanlah, penangan cinta adalah faktor tertinggi yang menjadi dalang dalam kes orang hilang di seluruh negara bermula dari tahun 2000 yang direkodkan oleh PDRM.

Berdasarkan statistik Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang antara 2003 hingga 2008, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. Paling menarik, 99.9 peratus orang hilang demi cinta buta ialah perempuan, namun ada juga lelaki yang lari dari rumah kerana mengikut kekasih. Kesemua kes membabitkan Bumiputera bukan Islam.


Namun perangkaan ini amat menakutkan kerana ia menunjukkan bahawa kini semakin ramai gadis sanggup melarikan diri semata-mata ingin bersama kekasih yang menjadi faktor paling tinggi kes orang hilang di Malaysia setiap tahun sejak 2000.

“Tahun 2007 saja, seramai 868 daripada 5,355 kes orang hilang kerana faktor itu, angka tertinggi dalam tempoh lima tahun sebelumnya. Pada 2003, kes lari kerana cinta mencatat peratusan terendah iaitu 14.1 peratus atau 698 daripada keseluruhan 4,939 kes,” jelas jurucakap jabatan itu.

Faktor kedua yang mendorong kes orang hilang ialah pengaruh kawan sebaya, diikuti perselisihan faham dengan keluarga terutama ibu bapa. Seramai 3,741 kes orang hilang dalam tempoh lima tahun itu akibat pengaruh rakan sebaya dan 69.4 peratus atau 2,598 orang adalah wanita.


“Ada juga kes hilang akibat pergi cari pekerjaan, tidak siuman atau bodoh, tidak minat belajar dan paling melucukan dibawa lari oleh ibu atau bapa sendiri. Punca lain ialah tertipu dijadikan pelacur, penagih dadah dan mangsa cabul oleh keluarga,” katanya.
4,097 Remaja Jadi Bodoh Kerana CINTA 4,097 Remaja Jadi Bodoh Kerana CINTA Reviewed by Unknown on Tuesday, April 29, 2014 Rating: 5

No comments