MH370: Tempat Persemadian Pesawat MH370 di Teluk Benggala
MH370: Tempat Persemadian Pesawat MH370 di Teluk Benggala | Sebuah syarikat pencarian yang berpengkalan di Adelaide percaya mereka mengesan satu lokasi disyaki tempat persemadian pesawat MH370 di Teluk Benggala kira-kira 5,000 kilometer dari lokasi pencarian sekarang di Lautan Hindi.
Syarikat berkenaan, GeoResonance memberitahu 7News, hasil pencarian dan penyelidikan pihaknya berjaya mengesan beberapa elemen di dasar laut yang konsisten dengan bahan pesawat MH370.
Sudah enam minggu berlalu sejak pesawat MH370 dan operasi pencarian di Lautan Hindi gagal mengesan serpihan pesawat itu.
Perdana Menteri Australia Tony Abbott hari ini, mengakui peluang tipis untuk menemui serpihan pesawat di permukaan laut.
GeoResonance percaya pihak berkuasa sedang mencari di kawasan yang silap dan pihaknya melakukan inisiatif sendiri mencari MH370 sejak 10 Mac.
"Teknologi yang kami gunakan sebenarnya direka untuk mencari bahan perang nuklear, kapal selam...pasukan kami di Ukraine mencadangkan kami patut cuba membantu," kata jurucakap GeoResonance David Pope.
Syarikat itu sudah menganalisa 2,000,000 kilometer persegi kawasan yang dipercayai kawasan pesawat terhempas menggunakan imej yang diperoleh dari satelit dan pesawat.
Saintis pula memfokuskan pencarian di utara lokasi terakhir pesawat dikesan menggunakan lebih 20 peralatan berteknologi tinggi untuk menganalisis data.
"Kami bagai tidak percaya apa yang kami temui di Teluk Benggala.
"Pasukan kami teruja selepas menemui sesuatu yang dipercayai bangkai pesawat komersial," kata Pope.
Sementara itu, Pavel Kursa dari syarikat yang sama memberitahu stesen televisyen itu yang mereka mengesan elemen kimia dan bahan membuat Boeing 777 seperti aluminium, titanium, gangsa, besi aloi dan bahan lain.
Laporan juga sudah dihantar kepada pihak berkuasa ketika kotak hitam masih mempunyai jangka hayat selama dua minggu lagi.
Pasukan itu turut mengesahkan penemuan dengan membuat analisa perbezaan imej di kawasan berkenaan pada 5 Mac iaitu tiga hari sebelum pesawat itu hilang.
Laporan lengkap diserahkan pada 15 April lalu.
"Kami tidak mengatakan ianya sah adalah MH370 tetapi kami berpendapat ia adalah petunjuk yang patut diberi perhatian," kata Pope.
7News cuba menghubungi Angus Houston dari JACC namun gagal.
--HMETRO
MH370: Tempat Persemadian Pesawat MH370 di Teluk Benggala
Reviewed by Unknown
on
Tuesday, April 29, 2014
Rating:
No comments