Hantar Virus Ke Telefon, Wang Lesap Sekelip Mata (2 Gambar)
Hantar Virus Ke Telefon, Wang Lesap Sekelip Mata (2 Gambar) | Kuala Lumpur - Awas! Hanya dengan menekan satu klik pada pautan yang dihantar ke telefon pintar menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) atau WhatApps, kesemua wang di dalam akaun bank anda mungkin akan lesap dalam tempoh tidak sampai seminit.
Begitulah taktik terbaharu sindiket penipuan Internet yang dikesan menghantar sejenis virus atau malware dikenali sebagai Zues Trojan ke telefon pintar yang akan mewujudkan satu program baru sekali gus berfungsi sebagai 'pencuri' maklumat bank ketika mangsa melakukan perbankan Internet.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, Datuk Hamza Taib berkata, setakat ini pihaknya telah menerima tujuh kes penipuan seumpama itu sepanjang bulan ini yang melibatkan kerugian kira-kira RM60,000.
"Malware ini akan aktif apabila mangsa melakukan daftar masuk ke laman perbankan Internet pada telefon pintar mereka.
"Setelah berjaya daftar masuk, malware ini akan memaparkan pautan palsu yang meminta mangsa memasukkan pelbagai maklumat dan setelah semuanya selesai dalam tempoh kurang seminit, tanpa disedari program terbabit akan bertindak sebagai pencuri maklumat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis JSJK Bukit Aman di sini hari ini.
Hamza berkata, sindiket terbabit dipercayai menghantar virus secara rambang namun majoriti mangsa ketika ini berada di Lembah Klang.
"Nilai kerugian yang paling banyak setakat ini ialah sebanyak RM10,000 yang berlaku di Bukit Merah, Perak," ujarnya.
Menurut beliau lagi, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menggunakan nombor telefon dari luar negara bagi menghantar virus.
Difahamkan, pihak polis turut mengesan seorang pemilik akaun yang menyimpan wang daripada mangsa-mangsa penipuan tersebut sebelum memindahkannya ke luar negara iaitu di Ukraine.
Dalam pada itu, Hamza menasihati orang ramai yang menggunakan perbankan Internet agar menggunakan perisian anti-virus dan anti-malware serta sentiasa mengemas kini aplikasi tersebut.
"Di samping itu, fikir sebelum memuat turun sebarang fail atau program serta pastikan sumber tersebut adalah yang sebenar," ujarnya.- utusan.com.my
Hantar Virus Ke Telefon, Wang Lesap Sekelip Mata (2 Gambar)
Reviewed by Unknown
on
Thursday, September 25, 2014
Rating:
No comments
Post a Comment