MH 17: Jika Benar, MH17 Bukan Pesawat Pertama Ditembak Jatuh

PESAWAT MH17


MH 17: Jika Benar, MH17 Bukan Pesawat Pertama Ditembak Jatuh - KUALA LUMPUR: Sekiranya benar andaian setakat ini bahawa pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh dekat sempadan Ukraine-Rusia, ia bukanlah insiden yang pertama seumpamanya.

Sekurang-kurangnya ada enam kejadian sepertinya sebelum ini, sama ada ditembak secara sengaja atau tidak sengaja. Bagaimanapun, nahas MH17 ini adalah yang paling buruk dalam sejarah industri penerbangan dunia. Penerbangan itu membawa 298 penumpang termasuk 15 anak kapal.

Kerajaan Ukraine menuduh kumpulan pemberontak pemisah bertanggungjawab. Kumpulan itu bagaimanapun menafikan tuduhan dan mengatakan sebaliknya.

Berikut adalah enam insiden seumpamanya dengan satu daripadanya juga ada kaitan dengan Ukraine.

1955: El Al Israel Airlines ELAL402

Penerbangan ini berlepas dari London menuju ke Tel Aviv melalui Vienna dan Istanbul. Pada 27 Julai 1955, pesawat Lockeheed L-049 Constellation itu tersasar masuk ke ruang udara Bulgaria.

Ia ditembak jatuh oleh dua pesawat pejuang MiG-15 milik tentera udara Bulgaria dan jatuh terhempas dekat Petrich, Bulgaria. Semua 58 penumpang dan anak kapal terbunuh. Nahas ini berlaku ketika hubungan tegang antara blok timur dan barat semasa era Perang Dingin.

Ia juga nahas terburuk melibatkan Lockheed L-049 Constellation pada ketika itu. Bulgaria kemudian memohon maaf dan mengatakan juruterbangnya telah "tergesa-gesa."

1973: Libyan Airline 114

Pesawat ini dalam penerbangan dari Tripoli menuju ke Kaherah melalui Benghazi. Akibat cuaca buruk dan kegagalan berfungsi peralatan komunikasinya, ia tersasar masuk ke ruang udara yang dikuasai oleh Israel dekat Semenanjung Sinai.

Pesawat Boeing 727 ini dipintas oleh dua pesawat pejuang milik Israel. Ia ditembak jatuh selepas dikatakan enggan memberi kerjasama. Siasatan mendapati juruterbang pesawat itu menyangkakan dua pesawat pejuang itu adalah milik Mesir yang dikerah untuk mengiringinya.

Pesawat itu membawa 113 orang penumpang dan anak kapal. Lima daripada mereka terselamat termasuk pembantu juruterbang.

1978: Korean Airlines KAL902

Pesawat yang dalam penerbangan dari Paris ke Seoul ini mengalami gangguan peralatan.

Juruterbangnya tersilap membuat perkiraan dan terbang masuk ke ruang udara Kesatuan Soviet (ketika itu) di Garisan Artik. Tentera udara Soviet yang menyangkakannya pesawat pengintip melepaskan tembakan. Pesawat Boeing 707 itu kemudian membuat pendaratan kecemasan dekat sempadan Finland. Dua daripada 109 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.

1983: Korean Airlines (KAL007)

Pesawat pemintas milik Soviet Union menembak jatuh pesawat Boeing 747 yang dalam penerbangan dari New York ke Seoul. Ia membawa 269 orang penumpang dan anak kapal termasuk seorang wakil rakyat Amerika Syarikat. Semua mereka terbunuh. Nahas ini terjadi ketika kemuncak era Perang Dingin.

Ia meningkatkan kempen anti-Soviet terutamanya oleh Amerika. Soviet pada awalnya menafikan kejadian tetapi kemudiannya mengaku bertanggungjawab lima hari selepas insiden.

1988: Iran Air IRA655

Kejadian ini berlaku ketika Perang Iran-Iraq dan ketika hubungan tegang antara Amerika Syarikat dan Iran. Tentera Laut Amerika tersalah sangka kononnya pesawat Airbus 300 itu adalah sebuah pesawat pejuang.

Selepas beberapa amaran, kapal perang USS Vincennes melepaskan dua tembakan misil yang satu daripadanya mengenai pesawat itu. Ia jatuh di Selat Hormuz, membunuh semua 290 penumpang dan anak kapal. Iran mendakwa pesawat tersebut telah sengaja ditembak jatuh. Amerika membayar kepada Iran sebanyak AS$101.8 juta sebagai ganti rugi.

2001: Siberian Airlines SBI1812

Pesawat ini dalam penerbangan dari Tel Aviv, Israel ke Novosibirsk, Rusia. Ia ditembak jatuh oleh misil dari Ukraine semasa terbang melintasi Laut Hitam. Siasatan mendapati tentera udara Ukraine melepaskan dua misil semasa latihan ketenteraan.

Semua 78 penumpang dan anak kapal maut.

MH 17: Jika Benar, MH17 Bukan Pesawat Pertama Ditembak Jatuh MH 17: Jika Benar, MH17 Bukan Pesawat Pertama Ditembak Jatuh   Reviewed by Unknown on Friday, July 18, 2014 Rating: 5

No comments