MH370: Anak dan Isteri Pegawai TLDM KD Lekiu Luah Perasaan
KUALA LUMPUR: "Kita semua sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul adalah sangat berat. Oleh itu saya harap rakyat Malaysia, keluarga para penumpang dan keluarga kita sendiri, untuk mendoakan keselamatan kami di sini agar misi mencari MH370 dipermudahkan”
Itu adalah kata-kata Pegawai Navigasi kapal KD Lekiu, Leftenan Fairul Sham Suhardi Zailis, yang kini berada di pangkalan Tentera Laut Diraja Australia, Pelabuhan HMAS Stirling.
Kapal yang merupakan antara kapal paling canggih milik Tentera Laut Diraja Malaysia itu kini sedang bersiap sedia untuk bertolak ke kawasan pencarian pada Khamis.
Sebagaimana sedih perasaan keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370, begitu juga perasaan yang sama dirasai oleh ahli keluarga tentera bertugas tatkala berjauhan dengan orang yang tersayang.
Isteri kepada Leftenan Fairul, Nur Mawarni telah menghubungi Astro AWANI untuk meluahkan betapa dia dan anak-anaknya merindukan Leftenan Fairul yang sudah 25 hari pergi menjalankan tugas sejak pesawat MH370 dilaporkan hilang.
Nur Mawarni turut menyatakan rasa bangga dengan apa yang telah dilakukan oleh suaminya.
Leftenan Fairul merupakan salah seorang daripada 160 anggota yang ditugaskan di atas KD Lekiu untuk operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Cabaran yang digalas beliau dan seluruh anggota nyata sarat dengan pelbagai dugaan.
Paling penting, tiada rasa putus asa walau dihimpit dengan pelbagai rasa demi menjejaki MH370.
"Kepada keluarga saya, saya harap banyakkan bersabar. Apa yang penting teruskan berdoa untuk keluarga penumpang dan anak kapal.
Esok lusa, keluarga akan menyambut saya apabila pulang, apa yang penting sekarang adalah mencari penumpang dan pesawat berkenaan” katanya di akhir bicara. - Astroawani
MH370: Anak dan Isteri Pegawai TLDM KD Lekiu Luah Perasaan
Reviewed by Unknown
on
Thursday, April 03, 2014
Rating:
No comments