Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 Bukti Malaysia Gergasi Asia
Tuesday March 12, 2013
NEW DELHI – Kilauan emas yang disapu pelumba negara pada hari terakhir acara trek Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 membuktikan Malaysia kini boleh bergelar gergasi Asia.
Kilauan emas tersebut diperoleh menerusi ratu acara trek negara, Fatehah Mustafa, pelumba remaja, Muhammad Firdaus Mohd. Zonis dan pelumba elit, Josiah Ng.
Hari cemerlang skuad negara pada kejohanan yang berlangsung di velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi itu bermula dengan kejayaan Josiah apabila mendominasi sepenuhnya final acara keirin dan 200 meter pecut individu, dan itu merupakan kejayaan pertamanya dalam sejarah ACC sejak menyertainya pada 1999.
Muhammad Firdaus yang baru berusia 17 tahun pula mengulangi lakaran sejarah yang pernah digarap oleh Mohd. Azizulhasni Awang pada ACC 2007 di Bangkok, Thailand yang turut merangkul pingat emas menerusi acara 200m pecut individu.
Emas kelima kem Malaysia dihadiahkan oleh Fatehah yang dikerah untuk bekerja keras sebelum berjaya menghadiahkan emas buat skuad negara selepas menewaskan pelumba ternama China, Shi Jingjing menerusi penentuan rubber setelah lawannya dibatalkan kemenangannya pada set terakhir acaran 200 meter pecut individu wanita.
Josiah mengaku sangat teruja dengan kejayaan di New Delhi kali ini.
“Saya tak tahu nak kata apa. Kejayaan ini sangat indah. Saya sudah lama menunggu detik ini. Menang dua pingat emas di ACC memang sangat menakjubkan,” kata Josiah.
Emas Muhammad Firdaus menjelma menerusi usaha mudah apabila mudah menundukkan pelumba Korea Selatan, Jung Jea-hee menerusi dalam acara 200m pecut individu remaja lelaki, sekali gus menambah koleksi kutipan peribadinya kepada dua emas.
Sebelum ini, dia merangkul emas menerusi acara 1 kilometer ujian masa individu.
Malaysia mendominasi sepenuhnya kategori acara 200m ACC 2013 apabila pelumba elit lelaki negara, Josiah juga dilihat langsung tidak menerima cabaran sengit daripada pelumba kurang berpengalaman Iran, Hassanali Varposhti.
Fatehah pula berkata: “Saya puas hati kerana saya telah berjaya menang pingat emas menerusi acara keirin dan 200 meter pecut individu di peringkat Asia. Saya fikir ini satu pencapaian yang sangat bagus untuk saya. Saya akan terus bekerja keras untuk menang pingat emas menerusi acara 500 meter ujian masa individu selepas ini.
“Bagaimanapun saya tahu ia sangat sukar kerana pelumba Hong Kong (Lee Wai Sze) merupakan juara dunia. Beberapa pelumba China juga sangat bagus dalam acara ini. Bagaimanapun tiada yang mustahil kalau saya terus bekerja keras,” kata Fatehah.
Kem Malaysia turut meraih tiga pingat gangsa menerusi Farehah Sharlin Mohd. Adnan dalam acara 200m pecut individu remaja wanita dan Nor Azian Maslin Sazali menerusi acara 10 kilometer perlumbaan mata.
Farehah Sharlin, anak jati Puchong, Selangor mudah menewaskan pelumba Korea Selatan, IM Sarang secara kemenangan straight set.
Pingat gangsa ketiga pula disumbangkan oleh pasukan 4km kejar-mengejar berpasukan negara menampilkan Mohd. Afiq Huznie Othman, Muhammad Aele Shafri Rusli, Ir. Wandie Lakaseh dan Mohamad Farid Razali yang hampir memecahkan rekod kebangsaan namun dilihat memperlahankan kayuhan selepas berjaya memotong kuartet Korea Selatan.
Pengurus pasukan trek Malaysia, Ibrahim Mustafa jelas berbangga dengan kemenangan bergaya pasukan negara pada hari terakhir acara trek di velodrom Kompleks Sukan Indira Ghandi itu semalam.
“Inilah kejayaan terbesar sepanjang saya menjadi pengurus pasukan. Saya ucapkan tahniah kepada semua pelumba negara yang bekerja keras untuk merangkul pingat emas sepanjang berlumba di India.
“Kejayaan pelumba remaja lelaki (Muhammad Firdaus) sangat membuka mata pencabar dari Hong Kong, Korea Selatan, Jepun dan China. Ini disebabkan dia baru kali pertama bersaing di peringkat Asia,”
Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 Bukti Malaysia Gergasi Asia
Reviewed by Unknown
on
Tuesday, March 12, 2013
Rating:
No comments