Sanggup Rogol dan Bunuh Akibat Fantasi Gila
Sanggup Rogol dan Bunuh Akibat Fantasi Gila
“Saya mempunyai imaginasi seks yang tinggi. Antaranya saya teringin mengikat seseorang wanita lalu merogolnya. Selepas itu, saya mahu membunuhnya,” kata Clive Sharp, 46.
Selepas setahun mendedahkan fantasi peliknya itu, Sharp akhirnya membuat kejutan apabila memecah masuk rumah pakar bedah veterinar, Catherine Gowing, 37, lalu memperkosanya. Lebih memilukan, mangsa bukan saja dirogol, malah Catherine turut melalui pengalaman memeritkan selama empat jam apabila didera dengan kejam untuk memuaskan nafsu lelaki itu.
Beberapa jam kemudian hanya anggota badan Catherine ditemui polis. Sharp membunuh dan mengerat mayat mangsa lalu membuangnya di tebing sungai sekitar Flintshire, Wales.
Sharp, pesakit mental yang mempunyai imaginasi seks melampaui batas, akhirnya dijatuhi hukuman penjara 37 tahun kerana kesalahan merogol dan membunuh yang dilakukannya pada Oktober 2010.
Suspek yang sudah beberapa kali ditahan, dikatakan tidak pernah serik dengan jenayah dilakukannya.
Menurut pendakwa raya Andrew Thomas, Sharp pernah ditahan seawal usia 17 tahun apabila ditangkap merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun.
“Pada usia seawal 16 tahun, dia pernah diberi satu perintah pengawasan kerana sering membuat panggilan telefon rambang kepada wanita dan gadis lalu berkelakuan tidak senonoh. Dia juga menghantar surat kepada wanita secara rambang.
“Setahun kemudian, dia dipenjara tiga tahun kerana merogol gadis 15 tahun dengan meletakkan sekeping kaca ke leher mangsa.
“Sebelas tahun kemudian, iaitu 1994, Sharp dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun kerana serangan seks terhadap isteri rakannya. Selepas itu, ketika dalam bulan pembebasannya, dia dipenjara sekali lagi selama lapan tahun kerana mengikat seorang wanita dan mengancam mangsa dengan pisau,” katanya.
Thomas menjelaskan, sebelum Catherine dibunuh, Sharp pada mulanya mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita lain. Namun, hajatnya tidak kesampaian lalu menuju ke rumah rakan wanitanya.
“Wanita terbabit enggan menurut perintah dan suruhan suspek. Kecewa permintaannya ditolak, Sharp ke rumah seorang lagi rakan wanitanya, Jane Doyle yang berkawan dan berkongsi rumah dengan mangsa.
“Kebetulan, Jane tiada di rumah kerana menziarahi keluarganya di Ireland dan kesempatan itu diambil suspek untuk berjumpa mangsa.
“Selepas melakukan jenayah itu, Sharp mengerat badan mangsa kepada beberapa bahagian dan membuangnya di sekitar Utara Wales. Polis terpaksa mengambil masa selama hampir sebulan bagi mengumpulkan keseluruhan anggota badan mangsa,” katanya.
Berdasarkan bukti, Sharp adalah pembunuh Catherine. Hanya kerana mempunyai nafsu pelik dan imaginasi seks yang tinggi, lelaki itu sanggup melakukan apa saja demi kepuasannya.
Hakim Mahkamah Mold Crown, John Griffith-Williams berkata, suspek sepatutnya dikenakan hukuman penjara 42 tahun jika tidak mengaku bersalah.
“Bagaimanapun, suspek mengaku salah atas tuduhan merogol, penderaan seksual, membunuh dan mengerat mayat mangsa. Jadi, penjara 37 tahun adalah hukuman yang berat berikutan umurnya sudah meningkat,” katanya.
Sejurus hukuman terbabit dijatuhkan, adik mangsa, Emma berkata, ibu bapanya kecewa terhadap kematian menyayat hati kakaknya itu.
“Ibu bapa saya paling terasa dengan tragedi yang berlaku terhadap Catherine. Mereka merindui senyuman, kebaikan serta segala-galanya mengenai Catherine.
“Catherine seorang wanita yang bijak, kehidupan dengan seronok, periang dan baik hati. Kehidupan kami tidak akan sama seperti sedia kala tanpanya,” katanya.
INFO:
NAMA: Clive Sharp
UMUR: 46 tahun
LOKASI KEJADIAN: Mold, Flintshire, Wales
MANGSA: Catherine Gowing, 37
FAKTA JENAYAH: Suspek beberapa kali ditangkap kerana melakukan kesalahan seksual sejak berusia 17 tahun lagi. Dia pernah ditangkap selepas merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun. Dia juga pernah dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun kerana serangan seks terhadap isteri rakannya. Sebelum berlaku kejadian pembunuhan terhadap Catherine, Sharp pernah mengatakan dia mempunyai imaginasi seks yang tinggi termasuk ingin mengikat, rogol dan membunuh mangsa.
FAKTA KES: Sharp merogol dan membunuh Catherine selepas hajatnya untuk mengadakan seks dengan seorang teman tidak kesampaian. Lalu dia ke rumah rakan wanitanya, Jane yang berkongsi rumah bersama mangsa. Mendapati Catherine sendirian di rumah, dia merogol mangsa. Sebelum membunuh, Sharp dikatakan melakukan penderaan seksual terhadap mangsa selama empat jam dan kemudian merogolnya. Bagi mengakhiri fantasi seks peliknya, Sharp membunuh, mengerat dan membuang mayat mangsa di beberapa tempat sekitar Flintshire, Wales.
Sanggup Rogol dan Bunuh Akibat Fantasi Gila
Reviewed by Unknown
on
Sunday, March 10, 2013
Rating:
No comments