[BERITA] Darah,Keringat Dan Air Mata Pejuang

Sunday March 3, 2013

Subang - 2 Mac 2013, Jenazah Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud yang gugur dimedan tempur dalam Op Sulu selamat tiba di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada jam lebih kurang 12 setengah tengahari tadi. 

Sehubungan itu, Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak, Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah binti Mansor yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada kedua-kedua wira negara ini serta memberi jaminan bahawa nasib keluarga mangsa akan mendapat pembelaan yang sewajarnya. 

Difahamkan bahawa kumpulan penceroboh ini telah bertindak sebagai “pengecut” dengan mengibarkan bendera putih kononnya sebagai tanda menyerah diri sebelum memerangkap anggota komando VAT69 dan melepaskan tembakan kearah mereka di Kampung Tanduo,Lahad Datu, semalam. 

Pada masa yang sama DYMM Permaisuri Agong Seri Paduka Baginda Tuanku Hajah Haminah binti Hamidun turut bersama-sama mencemar duli menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa yang terlibat serta berkongsi rasa simpati terhadap mereka. 

Seluruh warga PDRM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan tidak sekali-kali akan menjadikan pengorbanan wira-wira negara ini sesuatu yang sia-sia bahkan ia menjadi sumbu yang menyemarakkan semangat wira-wira yang masih diperbatasan untuk terus merobos kumpulan penceroboh ini sehingga ke lubang cacing. 

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Tan Sri Dato’ Sri Khalid Bin Abu Bakar, Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah-pengarah PDRM, Pegawai-pegawai kanan PDRM ,Pegawai-pegawai kanan Tentera , anggota-anggota PDRM 





























DOA BUATMU PERWIRA NEGARA

Bismillahirrahmanirrahim :

Ya Allah Ya Tuhan kami, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Tuhan yang mempunyai kekuasaan dan kebesaran. Tuhan penganugerah keselamatan dan kesejahteraan. Kami hamba-hamba-Mu menadah tangan sebagai tanda syukur yang tidak terhingga untuk dihitungnya, atas keselamatan dan kesejahteraan, kesihatan dan kenikmatan yang Engkau anugerahkan ke atas negara kami yang tercinta ini Ya Allah.

Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau campakkanlah jaluran kerahmatan yang berpanjangan kepada kami, Engkau simpulkanlah ikatan ukhwah penuh keserasian, Engkau labuhkan tirai keampunan maghfirah penuh keinsafan, Engkau jaringkan tangsi hidayah dan inayah yang berkekalan, Engkau titiskan darjah kesolehan dan kesihatan yang berkekalan buat kami, anak-anak watan juga keluarga yang tersayang.

Wahai pejuang-pejuang dan perwira-perwira negara, bangkit dan bersumpahlah berpaksikan kalimah akidah tauhid Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah, bahawa tidak akan kami biarkan bumi yang bertuah penuh bersejarah ini, diinjak pijak, disentap rentap, diselat lipat dek musuh durjana petualang bangsa ya Allah.

Tidak akan kami biarkan, biar ia putih bersih, tidak akan kami biarkan ya Allah, biarkan kami mencurahkan segala kesangggupan dan keupayaan kami di dalam mempertahankan negara kami dari sebarang kekacauan, huru hara dan pencerobohan. Biarkan kami berputih tulang namun tidak sekali-kali kami berputih mata menyerahkan kedaulatan negara kepada pengkhianat bangsa, agama dan negara Malaysia yang kami cintai ini walaupun roh kami melayang menjadi taruhan menyembah sujud bertemu-Mu ya Salam.

Ameen Ya ALLAH
Al-Fatihah untuk arwah yang terkorban dalam operasi Lahad Datu dan Semporna Sabah

-Sumber: PDRM Fb Pages

[BERITA] Darah,Keringat Dan Air Mata Pejuang [BERITA] Darah,Keringat Dan Air Mata Pejuang Reviewed by Unknown on Sunday, March 03, 2013 Rating: 5

No comments