Diari Harimau Muda di Brisbane, Australia
Oleh Aysha Ridzuan
Pasukan Malaysia Bawah-23 kini berada di Brisbane, Australia selama dua minggu untuk latihan dan empat aksi persahabatan sebagai persiapan awal untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA akhir tahun ini.
28 Jan 2013: 'Possession and Finishing'
Harimau Muda menjalani latihan di lokasi yang berlainan hari ini. Cuaca baik ketika kami tiba tetap beberapa minit selepas latihan dimulakan, hujan mula turun dan angin kencang kembali melanda bumi Brisbane ini.
Latihan terus dijalankan walaupun hujan lebat. Ong Kim Swee hari ini lebih menekankan kepada 'possession' dan 'finishing' di hadapan gol. Walaupun cuaca buruk, suasana latihan dipenuhi gelak tawa para pemain yang sangat teruja di sesi latihan tadi.
Kami hari ini turut dimaklumkan bahawa perlawanan esok menentang Sunshine Coast Fire telah dibatalkan kerana padang ditenggelami air hujan yang turun tidak berhenti. Harimau Muda kini dijadualkan menentang Brisbane Lions SC pada 30 Januari hari Rabu ini.
27 Jan 2013: Angin kencang
Cuaca di Gold Coast kurang baik hari ini, lebih teruk dari semalam. Angin lebih kencang dan hujan lebih lebat. Beberapa kawasan di Queensland juga telah dilanda banjir kilat.
Hari ini hari rehat untuk Harimau Muda dan mereka diberikan duit poket untuk keluar makan tengah hari namun sukar untuk ke mana-mana dengan ribut seperti ini.
Sebelum makan tengah hari, mereka menjalani sesi recovery atau pemulihan di kolam renang hotel. Walaupun cuaca berangin dan hujan, sesi ini tetap dijalankan. Ini rutin biasa sehari selepas perlawanan. Mujur tiada kecederaan yang serius dikalangan pemain selepas perlawanan pertama semalam.
Kami menikmati makan malam di Restoran Cina Malaysia berdekatan dengan hotel. Pemilik restoran itu berasal dari negeri Perak. Kemudian semua kembali ke hotel untuk berehat. Esok mereka akan mula berlatih semula.
26 Jan 2013: Harimau jinakkan jerung
Angin pagi yang kuat dan hujan pagi ini. Pemain semua terpaksa menjalani senaman pagi di dalam hujan sementara Ferris, Naim, Fandi dan Praba masih dalam proses pemulihan, hanya senaman di gym.
Tidak seperti dua hari lepas, Harimau Muda hari ini makan tengah hari di hotel dengan menu ayam roasted, pasta dan salad. Tiada nasi pada hari perlawanan untuk mereka.
Selepas makan tengah hari, Ong Kim Swee mengendalikan sesi video dimana para pemain akan menyaksikan rakaman perlawanan mereka yang lepas dan teliti kesalahan yand dibuat. Sesi ini mirip seperti sesi di dalam kelas di sekolah. Ong Kim Swee sebagai guru dan pemain sebagai anak muridnya. Ada masanya Ong Kim Swee akan bertanya secara rawak tentang apa yang perlu dilakukan dalam satu situasi dalam perlawanan.
Pada jam 3 petang kami berangkat ke Mallawa Sports Complex untuk perlawanan dengan Palm Beach Sharks, pasukan Liga Perdana Australia.
Seperti yang dijangkakan, pemain Australia lebih fizikal ketika beraksi tetapi Harimau Muda berjaya menang mudah 5-1 ke atas mereka hasil jaringan Wan Zaharulnizam, Rozaimi, Thamil Arasu (2) dan Izzaq Faris. Walaubagaimanapun, pasukan pada separuh masa kedua kurang menyerang berbanding babak pertama.
Seperti yang dikatakan Ong Kim Swee, perlawanan di Australia adalah peluang untuk pemain baru mencari keserasian dengan pemain lama dan membuktikan bahawa mereka mampu beraksi di tahap yang lebih tinggi.
25 Jan 2013: Tapak kaki
Fandi Othman, Nazirul Naim dan Ferris Danial masih belum mencapai tahap kecergasan yang baik untuk beraksi. Selepas sarapan pagi, mereka menjalani sesi gym bersama jurulatih fizikal, Rasto Bozik.
Sesuatu yang menarik saya pelajari hari ini tentang tapak kaki manusia. Penolong jurulatih, Hassan Sazali memberitahu bahawa terdapat dua jenis bentuk tapak kaki: Bentuk A dan B. Bagi pemain bola sepak yang mempunyai bentuk tapak kaki A, mereka tiada masalah untuk menyarungkan kasut boot yang berbentuk 'V' tetapi bagi yang bertapak kaki bentuk B, mereka selalunya akan merasakan kesakitan memakai boot bentuk 'V'.
Tapak kaki bentuk B yang lebar akan mengikut bentuk boot bentuk 'V' lama kelamaan dan menyebabkan kesakitan.
Pelatih fizikal Harimau Muda, Rasto turut memberitahu betapa pentingnya ibu jari kaki. Kedua-duanya harus lurus seperti biasa agar kita stabil apabila berdiri, berjalan atau berlari.
Latihan kedua Harimau Muda hari ini diiringi angin Queensland yang sejuk. Seperti semalam, Fandi, Nazirul dan Danial menjalani latihan berasingan dari pasukan. Semua pemain bersemangat ketika berlatih dan keserasian antara mereka jelas dilihat.
Saya juga sempat bertemu dengan jurulatih Palm Beach Sharks yang akan menentang Harimau Muda esok. Apa yang menarik, menurutnya, beliau hampir dilantik menjadi jurulatih pasukan Kuala Lumpur FA yang baru namun pihak penganjur inginkan jurulatih pilihan mereka membimbing pasukan Liga Perdana itu.
Palm Beach Sharks adalah pasukan yang baru dibentuk dan purata umur pemain dalam pasukan itu adalah 22 tahun. Esok juga adalah perlawanan persahabatan pertama bagi pasukan itu.
24 Jan 2013: Latihan pertama di basahi hujan dan angin sejuk
Kami selamat tiba di hotel penginapan Outrigger Surfer's Paradise pada jam 3 pagi semalam selepas penerbangan selama enam jam dari Bali. Kami semua hanya sempat tidur untuk beberapa jam sahaja. Pada jam 9.45pagi pasukan menikmati sarapan yang disediakan pihak hotel.
Kami kemudian berangkat ke Restoran Nicolinis pada jam 1.15 petang tidak jauh dari hotel untuk makan tengah hari. Para pemain dihidangkan dengan salad terlebih dahulu dan telah diberitahu untuk habiskan salad mereka. Ini adalah salah satu dari diet para pemain.
Pada jam 4.00 petang kami menaiki bas ke Mallawa Sports Complex untuk sesi latihan. Lokasi ini adalah 'home' kepada pasukan yang akan bertemu Harimau Muda pada 26 Januari nanti iaitu, Palm Beach Soccer Club. Pasukan yang digelar sebagai 'The Sharks' ini beraksi dalam Australian Premier League, liga divisyen 3 di Australia.
Hujan mula turun sejurus selepas Harimau Muda sudah bersedia untuk menjalani latihan. Tetapi latihan tetap diteruskan. Dedikasi dan kesungguhan pasukan jurulatih dan pemain wajar dikagumi.
Selepas latihan tamat, kami menikmati makan malam di tempat yang sama di mana para pemain dihidangkan salad, pasta dan buah-buahan. Mereka harus menjaga pemakanan mereka untuk kekal cergas jangka masa panjang. Mereka selalunya hanya diberi makan nasi pada waktu tengah hari.
Diari Harimau Muda di Brisbane, Australia
Reviewed by Unknown
on
Tuesday, January 29, 2013
Rating:
No comments