Saturday, August 02, 2014
Terimalah Hadiah Daripada Malaysia, Wahai Saudaraku Palestin (3 Gambar)

Masjid Umar Abdul Aziz yang dibina menggunakan sumbangan rakyat Malaysia kini menjadi masjid paling cantik di Gaza.

Terimalah Hadiah Daripada Malaysia, Wahai Saudaraku Palestin (3 Gambar) | Agaknya jika Malaysia dilanda peperangan, apa keperluan yang paling kita mahukan? Makanan? Ubat? Tempat tinggal?

Bagi penduduk Palestin di Gaza, mereka mahukan masjid.

Kerana di situlah semangat perjuangan mereka dicambah, di situlah jiwa-jiwa para syuhada dilahirkan.

Jadi apabila sembilan daripada puluhan masjid yang musnah dibedil roket rejim Israel semasa Perang Gaza pada 2008-2009 didirikan semula dan diperbaiki melalui sumbangan rakyat Malaysia, kegembiraan rakyat Gaza tidak terungkap dengan kata-kata.

“Mereka jatuh cinta dengan rakyat Malaysia,” menurut Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Mohd Azmi berkata, bagi penduduk Gaza, masjid bukan hanya untuk beribadat, tetapi tempat mencari ketenangan dan kekuatan untuk melawan musuh Islam, dan di situlah masa depan Palestin dibincangkan.

“Pernah sekali semasa kami (rombongan Mapim) sedang bersolat Jumaat di sebuah masjid di Gaza, tiba-tiba terdengar bunyi bom digugurkan. Kami delegasi Malaysia terus panik.

“Tetapi jemaah Palestin begitu tenang sekali. Bagi mereka, jika bedilan itu ditakdirkan terkena masjid itu dan mereka terkorban, ia adalah satu kematian yang mulia,” katanya.


Masjid Umar Abdul Aziz ketika dalam pembinaan

Menurut Mohd Azmi, serangan terbaharu rejim Israel ke atas Gaza sejak bulan lalu memusnahkan sebuah surau dan merosakkan dua masjid yang dibina menggunakan sumbangan rakyat Malaysia.

"Mapim memang sedih (dengan kemusnahan itu) tetapi semangat kami masih tinggi," katanya.

Katanya, setiap masjid di Gaza melahirkan 200 hafiz al-Quran selain menjadi pusat pendidikan agama.


Fokus bina masjid di Gaza

Menurut Mohd Azmi, projek pembinaan semula masjid di Gaza bermula pada 2010 apabila rombongan Mapim memasuki wilayah itu dalam satu misi kemanusiaan.

Menurutnya, daripada 800 masjid di wilayah itu, 32 rosak teruk atau musnah sepenuhnya dalam Perang Gaza pada 2008-2009.

“Kita pilih untuk bantu bina semula masjid kerana masjid amat penting bagi mereka. Walaupun ada keperluan lain seperti kesihatan, mereka kata masjid ibarat ibu penggerak masyarakat di sana,” ceritanya.

Mapim kemudian memulakan projek masjid berkembar antara masjid di Gaza dengan di Malaysia, dengan projek pertama membabitkan Masjid An-Nasr di Gaza dan Surau An-Nur di Bangi, Selangor.


Kos Masjid Nour Ar-Rozmey di Khan Younis, Gaza yang dalam pembinaan disumbangkan usahawan Malaysia, Datuk Dr Che Rozmey Che Din.

“Bagi Masjid An-Nasr, kosnya ialah RM1.2 juta dan siap dalam tempoh setahun,” katanya.

Menurut Mohd Azmi, wang pembinaan masjid itu yang dikumpulkan melalui penjualan sijil wakaf Mapim di seluruh Malaysia dihantar sebanyak 10 kali secara ansuran, selepas setiap fasa pembinaan hampir selesai. -Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment