796 Mayat Kanak-Kanak Ditemui Dalam Tangki Najis

County Galway, Ireland

796 Mayat Kanak-Kanak Ditemui Dalam Tangki Najis - TUAM: 796 mayat bayi dan kanak-kanak ditemui di dalam sebuah tangki najis yang telah ditinggalkan di sebuah bandar kecil dikenali sebagai Tuam di County Galway, Ireland. Mayat-mayat tersebut dipercayai dibuang antara tahun 1925 hingga 1961.

Berita tragik ini seperti dilaporkan oleh IrishCentral.com telah membongkar rahsia Gereja Katolik Ireland dimana tapak itu sebenarnya merupakan tempat tinggal bagi ibu yang melahirkan anak tanpa nikah yang dikenali sebagai ‘The Home’. Ia dikendalikan oleh Sisters of Bon Secours Congregation.

Catherine Corless, seorang ahli sejarah di Tuam memberitahu IrishCentral.com beliau masih mengingati tempat tinggal ‘Home Babies’ itu semasa membesar dan pergi ke sekolah.

“Mereka selalu diasingkan daripada kelas biasa. Paderi perempuan akan menyampaikan mesej bahawa mereka adalah golongan yang berbeza dan perlu diasingkan daripada orang ramai,” beliau dipetik sebagai berkata.

Corless menambah, jika pelajar di sekolah itu membuat kesalahan disiplin, mereka akan dipaksa duduk bersebelahan dengan penghuni Home Babies. Beliau turut menceritakan bagaimana rakannya membalut batu dalam balutan gula-gula dan memberinya kepada penghuni Home Babies.

“Apabila mereka membuka balutan itu, mereka sedar sebenarnya mereka telah ditipu. Saya mengaku saya turut mengikut jejak langkah rakan saya dan mempermainkan mereka. Pada masa itu saya rasa ia sesuatu yang kelakar,” IrishCentral.com memetik Corless sebagai berkata.

Perasaan bersalah itu terus menghantui Corless dan disebabkan itu, beliau kini mengetengahkan isu tragik penghuni Home Babies ini. Beliau telah menjalankan kajian intensif tentang apa yang berlaku dalam The Home selain mencari rekod-rekod lama.

Menurut IrishCentral.com, laporan pemeriksaan lembaga kesihatan tempatan daripada April 1944 mendapati seramai 271 kanak-kanak dan 61 orang ibu tunggal tinggal di The Home. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penghuni rumah itu seramai 333 orang sedangkan bangunan tersebut hanya mempunyai kapasiti untuk 243 penghuni sahaja.

Laporan tersebut turut menunjukkan bagaimana kanak-kanak yang tinggal di situ diabaikan dan kekurangan zat. Laporan juga mendapati kanak-kanak dalam keadaan ‘miskin, kurus dan tidak membesar’.

The Home beroperasi selama 36 tahun dari 1926 hingga 1961 dan penduduk Tuam memberitahu pemberita bahawa kanak-kanak tersebut dianggap golongan terbuang hanya kerana status mereka sebagai ‘anak luar nikah’ dan ‘berdosa’.

Corless turut cuba menghubungi sebahagian biarawati Bon Secours namun mereka telah berpindah dari Tuam pada 1961 dan menyerahkan segala rekod berkaitan The Home kepada Lembaga Kesihatan Barat. Lembaga tersebut seterusnya memberitahunya bahawa tiada maklumat umum mengenai perjalanan harian tempat itu.

Akhirnya, Corless berjaya mendapatkan rekod kematian kesemua 796 kanak-kanak yang ditemui mati di dalam sebuah tangki najis daripada pejabat pendaftaran di County Galway. Beliau bersama-sama sebuah jawatankuasa kini bekerjasama untuk membina sebuah memorial bagi memperingati kubur itu.



796 Mayat Kanak-Kanak Ditemui Dalam Tangki Najis 796 Mayat Kanak-Kanak Ditemui Dalam Tangki Najis Reviewed by Unknown on Thursday, June 05, 2014 Rating: 5

No comments