Tuesday, September 30, 2014
Suspek Sindiket Guna Virus Lesap Wang ATM http://apahell.blogspot.com/2014/09/suspek-sindiket-guna-virus-lesap-wang.html

Suspek Sindiket Guna Virus Lesap Wang ATM | KUALA LUMPUR 29 Sept. - Jika sebelum ini bank dirompak secara terang-terangan, kini institusi perbankan negara ini berdepan risiko baharu apabila wang tunai dalam mesin pengeluaran wang automatik (ATM) lesap akibat digodam.

Sehingga kini, Affin Bank Berhad serta Affin Islamic Bank Berhad (Affin Bank) dan tiga lagi bank mengalami kerugian yang dianggarkan hampir RM3 juta setelah satu sindiket yang didalangi warga Amerika Latin menggodam ATM mereka di beberapa buah negeri.

Jika semalam Affin Bank kerugian kira-kira RM1.07 juta apabila lima mesin ATM di cawangan mereka masing-masing satu di Subang Jaya serta Petaling Jaya, Selangor dan Batu Pahat, Johor manakala dua lagi di Johor Bahru, Johor digodam, hari ini sembilan lagi mesin ATM yang salah satunya milik cawangan Affin Bank menjadi sasaran.

Antara kejadian terbaharu yang dikesan berlaku ialah di Affin Bank Melaka Raya, Melaka yang melibatkan kerugian RM196,000; sebuah bank di Kota Damansara, Petaling Jaya (RM265,000); sebuah bank di Shah Alam (RM116,000) dan sebuah bank di Kelana Jaya (RM300,000).

Difahamkan, sehingga pukul 10 malam ini polis masih lagi menerima laporan mesin ATM digodam di sekitar Selangor dan jumlah sebenar mesin ATM yang digodam serta kerugian yang dialami masih belum diketahui.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kesemua kejadian tersebut dilakukan oleh sindiket yang sama.

Jelas beliau, siasatan mendapati kumpulan penjenayah licik tersebut memasukkan sejenis virus yang dikenali sebagai ULSSM yang mampu menggodam sistem ATM.

"Satu cakera optik yang mengandungi virus itu akan dimasukkan ke dalam sistem pemprosesan yang terletak di bawah panel ATM.

"Langkah itu akan mengakibatkan sistem komputer ATM tergendala dan menghentikan rangkaian internet yang dipasang untuk menghalang sistem keselamatan yang sedia ada daripada berfungsi.

"Apabila sistem tergendala, suspek akan menggodam mesin terbabit dengan senang sehingga mampu membuat pengeluaran dengan begitu mudah," katanya.

Mohd. Kamarudin menjelaskan, penjenayah perlu melakukan pengeluaran berulang kali kerana hanya 40 keping wang kertas yang keluar pada satu-satu masa.

Katanya, kemungkinan suspek bergerak secara aktif di beberapa buah negeri kerana mampu melakukan jenayah itu dalam tempoh 48 jam sahaja.

"Kita percaya mereka daripada sindiket yang sama dan setiap kali melakukan jenayah itu, dua atau tiga suspek yang dikesan menerusi lima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang kita ambil daripada lokasi kejadian.

"Polis percaya perbuatan tersebut dilakukan lebih daripada 10 suspek," katanya lagi.

Tambah beliau, penjenayah terbabit turut meletakkan sekeping kad SIM di tempat memasukkan kad ATM bagi menghalang pengguna lain melakukan transaksi.

0 comments:

Post a Comment