Konstabel Hilang di Semporna Hubungi Isteri Sahkan Berada Dalam Tahanan Penculik

Konstabel Hilang di Semporna Hubungi Isteri Sahkan Berada Dalam Tahanan Penculik | Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan Konstabel Zakiah Aliep menghubungi isterinya, Sharifah Erna Berson, malam tadi.


"Dalam perbualan singkat itu, Zakiah dilaporkan memberitahu isterinya dia kini berada dalam tawanan kumpulan penculik bersenjata, namun tidak menyatakan lokasi dia berada," kata Khalid ketika dihubungi BH, sebentar tadi. 
Zakiah, 26, sebelum ini dilaporkan hilang sejurus selepas serangan hendap kumpulan bersenjata di sebuah resort terapung di Pulau Mabul di perairan Semporna, malam kelmarin. 

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, rakan setugasnya Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh susulan tembakan rambang dilepaskan oleh kumpulan lapan suspek terbabit.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, pihak polis masih menunggu panggilan selanjutnya daripada kumpulan penculik itu untuk mengenal pasti kedudukan sebenar Zakiah.

Khalid berkata, polis secara dasarnya mengetahui identiti beberapa individu yang terbabit dalam serangan hendap pada malam Sabtu lalu.

Setakat ini, katanya polis tidak menerima sebarang permintaanwang tebusan daripada kumpulan penculik berkenaan. 

Dalam pada itu, Khalid berkata pihaknya sudah meneliti sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat peranginan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kita pasti ada penglibatan dalang-dalang di kawasan berhampiran yang berhubung dengan pihak musuh kerana mereka boleh bertindak sedemikian," katanya.

Beliau berharap masyarakat tidak membuat spekulasi berhubung insiden berkenaan.

"Kita lihat kebelakangan ini beberapa tindakan penjenayah melakukan pelbagai jenayah yang dipercayai mereka ingin melakukan satu lagi penculikan tapi kerana kehadiran pasukan keselamatan kawasan itu, mereka tidak dapat melakukannya," katanya.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan penjenayah terbabit sanggup membunuh dan menembak pasukan keselamatan untuk membalas dendam apabila usaha penculikan gagal. BeritaHarian
  
Konstabel Hilang di Semporna Hubungi Isteri Sahkan Berada Dalam Tahanan Penculik Konstabel Hilang di Semporna Hubungi Isteri Sahkan Berada Dalam Tahanan Penculik Reviewed by Unknown on Monday, July 14, 2014 Rating: 5

No comments