Peristiwa Membaik Pulih Kaabah di Zaman Rasullulah SAW

Peristiwa Membaik Pulih Kaabah di Zaman Rasullulah SAW | Ketika Rasulullah S.a.w berusia 35 tahun, orang Quraisy meroboh dan membangunkan semula Kaabah kerana Kaabah ketika itu hanya berupa susunan batu-batu yang sedikit lebih tinggi daripada tubuh manusia. Tingginya 9 hasta sejak dibangunkan pertama kali oleh Nabi Ismail. Kaabah tidak beratap menyebabkan para pencuri sering memasukinya dengan memanjat dan melompat dari atas untuk mencuri barang-barang berharga yang ada di dalamnya.

Peristiwa Membaik Pulih Kaabah di Zaman Rasullulah SAW

Akibatnya, bangunan yang telah tua itu semakin rapuh dan dindingnya pecah-pecah. Ditambah lagi dengan pernah berlaku kebakaran padanya. 5 tahun sebelum Rasulullah S.a.w diangkat sebagai nabi dan rasul, Mekah dilanda banjir besar yang luapan airnya sampai ke Kaabah. Sehinggakan bila-bila masa sahaja Kaabah boleh roboh.

Pada mulanya, pemulihan Kaabah tidak dapat dilaksanakan kerana kaum Quraisy lebih suka untuk membiarkan bangunan asal Kaabah seperti seadanya. Mereka juga tidak berani merobohkannya kerana Kaabah sangat diagungkan oleh mereka.

Kemudian, diputuskan juga untuk memperbaiki Kaabah, tetapi dengan kesepakatan bahawa mereka tidak akan memasukkan apa-apa ke dalamnya kecuali perkara yang baik. Maka mas kahwin pelacur, wang daripada hasil penjualan dengan sistem riba serta barang rampasan tidak diterima.

Namun begitu, mereka masih juga merasa takut untuk merobohkannya. Al-Walid berkata kepada mereka, "Apakah kalian merobohkannya dengan maksud untuk memperbaikinya atau merosakkannya?" Mereka menjawab, "Tidak, kami bermaksud untuk membaikinya." Maka al-Walid ibnu Mughirah menjawab, "Kalau memang demikian, sesungguhnya Allah tidak akan membinasakan orang-orang yang mengadakan perbaikan."

Akhirnya al-Walid ibnu Mughirah al-Makhzumy memulakan menghancurkan dinding Kaabah. Melihat Walid tidak mengalami apa-apa, mereka semua mengikutinya. Mereka terus merobohkan Kaabah hingga tiba bahagian dasar yang dulunya dipasang oleh Nabi Ibrahim a.s. Selepas itu mereka mula membangunkannya kembali.

Mereka membahagikan Kaabah menjadi beberapa bahagian. Setiap bahagian dikhususkan pembangunannya kepada satu kabilah. Setiap kabilah pun mula mengumpulkan batu-batu lalu membangunkan bahagian yang menjadi bahagian masing-masing. Muhammad S.a.w dan bapa saudaranya Al-Abbas adalah termasuk dalam orang-orang yang memikul batu-batu. Orang yang merancang susun bangunan ialah arkitek berbangsa Rom bernama Baqum.

Ketika pembangunan telah sampai pada tahap perletakan kembali Hajarul Aswad pada tempatnya semula, orang Quraisy berselisih tentang siapa yang layak mendapat penghormatan meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya. Perselisihan terus berterusan hingga 4 atau 5 hari. Situasi terus panas sehingga nyaris-nyaris menjadi pertumpahan darah di Tanah Haram.

Mujurlah Abu Umayyah bin Mughirah al-Makhzumy meredakan suasana dengan menawarkan cadangan agar keputusan dan perselisihan mereka diserahkan kepada orang yang pertama masuk menemui mereka melalui pintu masjid. Mereka semua menerima cadangan tersebut. Rupa-rupanya Allah mengkehendaki bahawa orang yang pertama masuk ialah Nabi Muhammad S.a.w. Tatkala mereka melihat baginda datang, mereka berseru, "Ini dia al-Amin. Kami redha terhadapnya. Inilah Muhammad."

Tatkala baginda sampai di hadapan mereka, mereka terus menceritakan permasalahan mereka kepada baginda. Baginda lantas meminta sehelai kain yang panjang dan lebar, lalu meletakkan Hajarul Aswad di tengah-tengahnya. Lalu baginda meminta semua pembesar daripada setiap kabilah untuk memegang hujung kain. Baginda menyuruh mereka untuk sama-sama mengangkatnya. Setelah mereka sampai di tempat meletakkan Hajarul Aswad, Rasulullah S.a.w mengambilnya dan meletakkan di tempatnya semula. Ini lah penyelesaian bijak yang diredhai oleh semua orang.

Ketika hampir selesai membangunkan Kaabah, orang Quraisy kehabisan modal yang diperolehi daripada hasil yang baik. Maka mereka membiarkan bahagian sebelah utara sebanyak 6 hasta yang kemudian disebut sebagai al-Hijir atau al-Hathim. Mereka membina pintunya lebih tinggi dari permukaan tanah, agar tidak dimasuki kecuali oleh orang yang memang mempunyai keperluan. Tatkala pembinaan dindingnya sampai setinggi 15 hasta, mereka membuatkan atap untuk Kaabah yang disangga dengan 6 buah tiang.

Ketika pembangunannya selesai, Kaabah kelihatan berbentuk seperti kubus yang tingginya mencapai 15 meter. Bahagian sisinya terdapat Hajarul Aswad dan sisi lawannya mempunyai panjang 10 meter. Hajarul Aswad diletakkan pada ketinggian 1.5 meter dari permukaan tanah yang digunakan untuk bertawaf. 

Sementara bahagian sisi lain terdapat pintu dan sisi lawannya mempunyai panjang 12 meter, dengan pintu setinggi 2 meter di atas permukaan tanah. Di sekeliling Kaabah, bahagian luar terdapat kerangka bangunan yang letaknya paling bawah, yang dinamai dengan Syadzirwan dengan ketinggian lebih kurang 0.25 meter dan lebar kira-kira 0.3 meter. Syadzirwan merupakan sebahagian daripada bangunan asal Kaabah yang dibiarkan di situ oleh orang Quraisy.




Video bonus: Syarah Nurul Yaqin oleh Ustaz Mustaffa Kamal, berkenaan tajuk di atas

Rujukan:

1 - ar-Rahiq al-Makhtum (Sirah Nabi) - Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri

2 - Nurul Yaqiin - Syeikh Muhammad al-Khudhari Bek

Peristiwa Membaik Pulih Kaabah di Zaman Rasullulah SAW Peristiwa Membaik Pulih Kaabah di Zaman Rasullulah SAW Reviewed by Unknown on Monday, June 23, 2014 Rating: 5

No comments