ARTIS: Noh Hujan Buang Sikap Dingin Pada Media

BERMULA hari ini dan esok (4 dan 5 April) Noh bersama Amy Search, Jaclyn Victor dan Adira terbabit dalam Konsert Stanza Cinta yang dipentaskan di Istana Budaya pada pukul 8.30 malam. Noh akan mendendangkan lagu hitnya daripada Hujan dan lagu solonya.

RESTORAN Chawan, Publika, 2. 15 petang. Saya duduk di sebelah pemilik nama sebenar Mohamad Noh Salleh atau dikenali sebagai Noh. Dia yang mengenakan kaca mata hitam sedang cuba menikmati keropok lekor dan teh ais miliknya dalam selang-seli temu bual kami.


Berbanding lebih lima tahun silam, kali ini Noh terkesan berbeza. Bicaranya tidak malas-malas. Penerimaannya terhadap media tidak terlalu dingin. Sikap skeptikalnya pada sesi temu bual juga cuba dibuang jauh- jauh.

Dia nampak lebih terbuka untuk berbicara dan berhemah untuk tidak menjawab persoalan yang dirasa tidak perlu dibahaskan.

Akuinya, sikap ego dan darah muda yang pernah menggelegak dalam diri- nya beberapa tahun lalu sudah mula surut sedikit demi sedikit.

"Dulu saya rasa rimas dan punya satu perasaan yang sukar diungkapkan terhadap pihak media. Waktu muda, ego tinggi dan darah muda, saya rasa kehadiran media agak mengganggu.

"Sebab waktu pada permulaan Hujan wujud dan punya kelompok peminat sendiri, kami 'hidup' melalui rangkaian alam maya dengan MySpace tanpa media. Jadi, apabila tiba-tiba dicari media, saya rasa nak marah dan sukar menerima keadaan itu.

"Padahal, jika difikirkan balik, kalau saya tidak suka, bukannya tidak boleh menolak secara berhemah. Tapi, itulah, darah muda, saya tidak fikir impaknya pada masa akan datang. Ya, semua orang tidak pernah terlepas melakukan kesilapan," katanya serius.

Sebenarnya jelas Noh lagi, apa yang membuat dirinya bersikap skeptikal terhadap media adalah apabila berita yang ditulis lebih bersifat peribadi, bukannya mengenai jatuh bangun kariernya.

"Bagaimanapun, semakin lama dalam industri, saya fikir, saya tidak berhak menghalang apa yang mahu ditulis atau diberitakan media. Ini adalah sebahagian perkara yang perlu saya lalui, jadi saya mula bersikap lebih terbuka.

MELALUI album solo perdananya, single Angin Kencang telah dipilih menjadi lagu tema program Romantika. Noh dan Nina turut akan diterbangkan program ini ke Paris untuk ‘berbulan madu’. Noh mengambil kesempatan melakukan klip video Angin Kencang di sana.

"Apa yang penting, berita itu jangan mengguris hati ibu dan bapa saya kerana sebagai orang kampung yang naif, mereka selalu menerima bulat- bulat apa yang diberitakan," katanya yang mula lebih bersahabat dengan media dan industri hiburan.

Namun, seiring waktu bergulir, sikap ego dan darah muda mula terhakis.

"Sebenarnya, saya pun tidak sedar bagaimana ia berlaku. Bagaimanapun, satu yang saya pasti, ia terjadi selepas saya mula bercampur dengan banyak orang, sekali gus persekitaran dan percampuran itu membuat saya matang," katanya jujur.

Berbicara tentang perjalanan 10 tahun kehidupannya sebelum menjadi satu ikon dalam industri muzik tempatan, Noh termenung lama sebelum menjawab.

Hujan mula ditubuhkan pada tahun 2005 sebelum 2006 mula menjadi virus dalam dunia underground dan kemudian menjadi buruan penggemar muzik arus perdana selepas lagu-lagu mereka seperti Ah Moi Chantek, Bila Aku Sudah Tiada dan Pagi Yang Gelap mempunyai jiwa berhaluan berbeza dengan muzik sedia ada.

"Sepuluh tahun lalu, saya hanya seorang budak naif dari Sarawak yang datang ke bandar untuk jadi anak seni. Tiga tahun pertama adalah tahun yang amat sukar buat saya, namun dugaan yang datang kepada saya dibalas dengan kasih sayang banyak orang di sekeliling saya," ceritanya yang mendadak terkenal dalam dunia arus perdana menerusi EP, Pagi Yang Gelap.

Noh tiba-tiba ketawa mengekek dan memberitahu bahawa selama beberapa tahun awal pembabitannya sebagai anak seni, bapanya adalah individu yang paling menentang pekerjaan yang dilakukannya.

"Kalau balik kampung, dia akan panggil dan membebel. Kalau jumpa di Kuala Lumpur pun dia akan bising dengan apa yang saya buat.

"Bayangkan masa album pertama kami keluar pun (Hujan, 2008) dia bising. Dia mahu saya bekerja dengan mendapat pendapatan bulanan yang tetap.

"Namun sejak kebelakangan ini, dia sudah boleh menerima pekerjaan saya, tapi saya pula yang rasa sedih sebab sudah tidak kena marah dengannya," katanya ketawa.

ARTIS: Noh Hujan Buang Sikap Dingin Pada Media ARTIS: Noh Hujan Buang Sikap Dingin Pada Media Reviewed by Unknown on Friday, April 04, 2014 Rating: 5

No comments