Sunday, March 02, 2014
Terung Yang Haram Dimakan | Di kota Damsyiq, ada sebuah masjid besar yang bernama Masjid Al-Taubah.

Kira-kira tujuh puluh tahun yang lalu, masjid ini pernah diduduki oleh seorang pemuda, penuntut ilmu yang bernama Sulaim Al-Suyuthi.



Beliau terkenal pandai dalam ilmu agama dan sangat soleh, tetapi ia sangat fakir. Dia tidak memiliki tempat berteduh selain sebuah bilik di dalam masjid Al-Taubah.

Suatu hari, Sulaim merasa sangat lapar.

Sudah dua hari beliau tidak makan dan tidak memiliki apa-apa untuk membeli makanan. Pada hari ketiga, beliau merasa hampir mati.

Otaknya berfikir; apa yang harus dilakukan?

Malah dia berasa telah sampai kepada batasan darurat yang membolehkan dirinya memakan bangkai atau mencuri sesuai keperluan.

Dia memilih untuk mencuri.


Terung yang haram

Masjid Al-Taubah pada waktu itu berada di tengah-tengah kota raya. Rumah-rumah pada saat itu saling berdekatan dan atapnya saling berhampiran.

Jika seseorang mahu, dia dapat berjalan hingga ke akhir kota dengan melangkah di atas atap-atap rumah.

Syeikh Sulaim segera memanjat dinding masjid.

Dia terus melangkah ke atap rumah penduduk. Dia melihat seorang wanita dari atap tersebut, dia segera menutup matanya dan menjauh.

Kemudian dia tiba ke sebuah rumah kosong, dia mencium dari dalamnya bau sebuah masakan. Bau itu macam magnet yang menarik dirinya untuk turun.

Dia segera melompat ke dalam rumah itu dan terus berlari ke dapur. Dia segera mengangkat penutup kuali dan melihat terung-terung (bazinjan mahsyi) yang sedang dimasak.

Tangannya mengambil salah satu dari terung tersebut dan segera menggigitnya.

Namun sebelum ia berhasil menelan gigitan tersebut, akal dan agamanya kembali.

Hatinya segera berkata, “Auzu billah. Saya seorang pelajar agama yang tinggal di masjid. Tidak patut saya menceroboh rumah orang lain dan mencuri makanannya.”

Dia menjadi sangat menyesal.

Dia lalu beristighfar dan mengembalikan terung yang telah digigitnya itu ke tempatnya semula.

Dia  kembali ke masjid dan duduk di sebuah majlis ilmu. Namun kerana sangat lapar, dia hampir tidak mengerti apa yang didengar.

Setelah majlis itu selesai dan semua orang telah kembali ke rumah masing-masing, tidak ada yang masih berada di dalam masjid kecuali Syeikh Sulaim dengan gurunya.

Dalam keadaan itu seorang wanita berniqab tiba-tiba datang dan berbicara dengan sang guru, suaranya sangat halus.

Kemudian guru itu memanggil Syeikh Sulaim lalu berkata kepadanya, “Perempuan ini memberitahuku bahawa suaminya baru sahaja meninggal dunia. Dan ia seorang yang asing di negeri ini. Tidak ada yang menjaganya selain pak ciknya yang sudah sangat tua.

Dia mewarisi rumah dan semua harta suaminya. Untuk itu, ia meminta dicarikan seorang suami yang dapat menjaga dirinya dari orang-orang jahat. Mahukah engkau menikahinya?”

Syeikh Sulaim berkata, “Ya.”

Lalu Syeikh itu bertanya kepada perempuan itu, “Mahukah engkau menerimanya sebagai suami?”

Ia menjawab, “Ya.”

Pakcik perempuan itu  hadir bersama dua orang saksi. Akad nikah pun dilaksanakan segera.

Syeikh itu lalu berkata, “Bawalah suamimu ini.”

 Perempuan itu lalu memimpinnya ke rumah tempat tinggalnya. Apabila perempuan itu menyingkap niqabnya, ternyata dia adalah seorang wanita yang sangat muda dan cantik.

Juga ternyata, rumah kediamannya adalah rumah yang tadi dicerobohinya.

Isterinya  bertanya, “Mahukah engkau makan?”

 Dia menjawab, “Ya.”

Isterinya segera membuka penutup kuali dan melihat terung-terungnya. Dia segera berkata, “Hairan sekali, siapa yang telah masuk ke rumah dan memakan terungku?”

Syeikh Sulaim segera menangis dan menceritakan kisahnya kepada isterinya.

Isterinya itu segera berkata, “Inilah buah daripada sifat amanah. Engkau meninggalkan sebiji terung yang haram, Allah lalu memberikan kepadamu rumah ini berserta seluruh seisinya melalui cara yang halal.”


Tinggalkan yang Haram

Kisah ini diceritakan oleh Allahyarham Syeikh Ali Al-Thantawi, seorang ulama besar di Syria yang wafat beberapa tahun lalu, di dalam muzakarahnya.

Beliau berkata, “Cerita ini kisah nyata. Saya sendiri mengenali tokoh-tokohnya dan saya masih ingat perincian ceritanya.”

Masya-Allah, ketika membaca kisah ini saya kembali teringat kota Damsyiq yang penuh dengan ilmu dan keberkatan. Kejadian luar biasa sering terjadi di kota ini bagi orang-orang yang ikhlas menuntut ilmu kerana Allah.

Pengajaran yang terkandung di dalam kisah ini sangat jelas.

Satu biji terung haram yang anda tinggalkan kerana Allah akan dibalas dengan rumah besar berserta isinya dan isteri yang cantik di dunia ini.

Belum lagi balasan tidak terkira daripada Allah di akhirat kelak,

”Tak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti dan yang indah dipandang, sebagai balasan bagi mereka atas apa yang mereka kerjakan.” (surah al-Sajdah: 17).

Meninggalkan perkara haram adalah ibadah yang paling Allah sukai.

Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tinggalkanlah perkara-perkara yang haram, maka engkau menjadi orang yang paling banyak ibadahnya.”

Siti Aisyah berkata, “Kamu semua tidak akan membawa amalan yang lebih baik daripada sedikit dosa. Maka barang siapa yang mahu mengalahkan seorang ahli ibadah yang tidak pernah berhenti menyembah Allah, maka tahanlah dirinya daripada dosa.”

Para ulama berkata, “Perbuatan taat dapat dilakukan oleh semua orang. Namun meninggalkan maksiat, hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang siddiq (jujur kepada Allah).”

Maimun bin Mahran, seorang ulama tabiin berkata, “menyebut nama Allah dengan lisan adalah perbuatan yang sangat baik. Namun lebih baik daripada itu ialah seseorang yang mengingat Allah ketika hampir melakukan maksiat.”

0 comments:

Post a Comment