Josiah Hampakan Azizulhasni di New Delhi


Monday March 11, 2013


NEW DELHI – Josiah Ng membuktikan betapa dia masih perlu digeruni apabila menewaskan seteru senegara, Mohd. Azizulhasni Awang sekali gus menempah tiket ke pusingan separuh akhir acara pecut 200 meter individu pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2013 (ACC) di velodrom Kompleks Sukan Indira Ghandi semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010 itu akan berdepan pelumba Korea Selatan, Choi Lae Seon yang mengejutkan jaguh China, Tang Qi pada pertemuan separuh akhir hari ini.

Ia sekali gus menghampiri impiannya untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada kejohanan yang sama di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras tahun lalu.

Keputusan tersebut pasti memberi lebih masa kepada Mohd. Azizulhasni untuk menumpukan perhatian kepada pusingan saringan pertama acara keirin yang bermula lewat semalam apabila dia diundi bersama Tang Qi dari China; Muhammad Parash (Iran), Lae Seon (Korea), Yeong Wai Mun (Singapura) dan Shin Hsiao Shih (Taiwan).

Josiah pula diletakkan dalam saringan keempat bersama Shiu Ka Ming (Hong Kong), Rajesh Chandrahekhar (India); Pavel Vorzev (Kazakahstan), Ahmad Elbourdainy (Qatar), Chien Liang Chen (Taiwan) dan Badr AlBaooshi (Emiriyah Arab Bersatu).

Dalam pada itu, Mohamad Edrus Mohd. Yunos gagal mempertahankan pingat emas acara 1km ujian masa yang dimenanginya di Kuala Lumpur tahun lalu apabila sekadar menduduki tempat kelima dengan catatan masa 1:05.174s.

Bagaimanapun, perjuangan pelumba Malaysia semalam lebih terarah kepada Fatehah Mustafa yang berjaya meraih pingat gangsa menerusi acara 500m ujian masa individu wanita dengan catatan masa 35.581 saat, dengan purata kelajuan 50.589kmj, dan ia rekod baharu kebangsaan.

Pingat emas acara tersebut dimenangi Lee Wai Sze, juara dunia dari Hong Kong yang merakam masa 34.310s.

Ketua jurulatih, John Beasley jelas bangga dengan kejayaan Fatehah yang berjaya memecahkan rekod baru kebangsaan dan percaya pelumba kelahiran Terengganu itu masih boleh memperbaiki catatan tersebut.

"Memang sudah boleh diagak, apa yang boleh anda fikirkan jika juara dunia turut mengambil bahagian. Dia (Wai Sze) adalah juara dunia. Jadi sudah tentu agak sukar untuk menewaskannya. Namun, apa yang membanggakan saya hari ini (semalam) ialah Fatehah mampu mencatat rekod baharu kebangsaan.

Fatetah turut mengakui gembira dengan catatan yang dilakukannya itu, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan.

"Selain dapat memperbaharui rekod kebangsaan, saya tetap berpuas hati kerana dapat mempertahankan pingat gangsa yang dimenang pada ACC tahun lalu di Kuala Lumpur.

"Saya akan cuba untuk terus memperbaiki catatan masa yang dilakukan pada masa akan datang," jelas Fatehah.

Malaysia kini turut berpeluang untuk meraih sebutir gangsa menerusi acara pecut berpasukan wanita remaja apabila gandingan Nurul Alissa Mohammad Azman dan Farihah Shahwati Mohd. Adnan berjaya merakam masa 38.848s pada pusingan kelayakan.

Penentuan pingat emas acara tersebut pula akan mempertemukan kombinasi pelumba Korea Selatan dan Taiwan.
-Kosmo

Josiah Hampakan Azizulhasni di New Delhi Josiah Hampakan Azizulhasni di New Delhi Reviewed by Unknown on Monday, March 11, 2013 Rating: 5

No comments