Sunday, March 17, 2013
Sunday March 17, 2013


SKUAD hoki negara berpeluang melakar sejarah baharu pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2013 apabila beraksi menentang Australia pada final di Stadium Hoki Ipoh malam ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia layak ke final selepas gagal dalam tiga edisi sebelum ini iaitu pada 1985 (kalah kepada India), 2007 (kalah kepada Australia) dan 2009 (kalah kepada India).

Penantian selama 22 tahun peminat hoki tempatan untuk melihat Malaysia menjulang trofi PSAS kali ini, dilihat lebih realistik selepas menyaksikan penampilan yang lebih bertenaga daripada anak-anak buah Paul Revington dan Arul Selvaraj itu sepanjang edisi ke-22 di Ipoh ini.

Namun, skuad negara perlu bangkit daripada aksi hambar ketika seri 2-2 dengan India pada aksi terakhir peringkat kumpulan semalam, sekiranya berhajat untuk menamatkan kemarau kejayaan pada kejohanan jemputan tertua di Asia itu.

Sepanjang kempen ini, Malaysia berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan Korea Selatan 3-2, menang ke atas juara bertahan, New Zealand 2-1 sebelum mengikat Australia 1-1 dan Pakistan 2-2.

Berdepan Australia yang juga juara Olimpik dan dunia di final, sudah semestinya bukan satu tugas yang mudah, namun pemain negara telah membuktikan bahawa mereka mampu membuat kejutan selepas berjaya mengikat pasukan No. 2 dunia itu di peringkat kumpulan.

Malaysia yang menduduki ranking ke-13 dunia, menjamin tempat ke final setelah New Zealand (No. 8 dunia) yang memerlukan kemenangan ke atas Australia pada perlawanan terakhir, tumpas 2-3 kepada pasukan Kookaburra itu.

Justeru, pertemuan dengan India (No. 7 dunia) semalam tidak lebih kepada pelengkap jadual perlawanan, dan Malaysia bernasib baik untuk mencatat keputusan seri dengan juara PSAS lima kali itu.


Pada aksi semalam, skuad negara mendahului 1-0 menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit keenam, namun Mandeep Singh menyamakan kedudukan buat India sebelum Rupinder Pal Singh memberi kelebihan 2-1 kepada India pada babak kedua.

Namun, Faizal sekali lagi muncul wira negara apabila menyamakan kedudukan 2-2 menerusi pukulan penalti pada minit-minit terakhir perlawanan, sekali gus menghampakan India untuk bertemu Korea Selatan dalam penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini.
-kosmo

0 comments:

Post a Comment