Friday, March 01, 2013
2
Friday, March 1, 2013


RAMEZ mahu membawa kesnya kepada FIFA 


SELANGOR berhak kecewa kerana seolah-olah tertipu apabila membawa masuk pemain import, Ramez Jamal Dayoub yang terlibat dengan rasuah bola sepak.

Lebih menyedihkan, ejen pemain terbabit tidak mendedahkan perkara tersebut kepada pihak pengurusan Selangor walaupun ketika itu, isu kes mengatur keputusan perlawanan membabitkan Ramez belum didedahkan kepada umum.

Namun semalam, isu tersebut didedahkan oleh Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) yang mengumumkan penggantungan seumur hidup ke atas Ramez yang didakwa terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan ketika beraksi dengan skuad kebangsaan Lebanon pada kempen kelayakan Piala Dunia 2014.

Begitu pun, pemain pertahanan import Selangor itu tidak mengaku salah atas pertuduhan tersebut.

Sebaliknya, pemain kelahiran Lebanon itu kini bersedia untuk membawa kes tersebut kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mendapatkan keadilan terhadap dirinya.

Bintang Gergasi Merah itu antara dua pemain yang dihukum gantung seumur hidup oleh LFA selepas badan induk persatuan itu mendapati Ramez terlibat dalam skandal atur perlawanan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2014.

Ramez dan seorang lagi pemain, Mahmoud Ali yang turut dikenakan denda bernilai AS$15,000 (RM46,711), masih di benarkan membuat rayuan terhadap hukuman tersebut.

Mengulas lanjut, bekas pemain Yangon United dan Safa Sporting Club itu menyifatkan hukuman tersebut disifatkan sebagai serangan peribadi LFA terhadap dirinya.

Jelasnya, Ramez mengakui hubungannya dengan LFA tidak begitu baik selepas badan induk itu memiliki ‘masalah’ dengannya sebelum kes ini didedahkan.

“Saya tidak bersalah dan saya telah berjumpa dan merujuk dengan peguam bagi meneliti kes ini dengan lebih tepat.

“Apa yang pasti, saya akan mengemukakan kes ini kepada FIFA bagi mendapatkan kebenaran, dan hukuman ini dilihat lebih kepada serangan peribadi.

“Jika benar saya didapati bersalah, FIFA akan menyiasat dan menggantung saya, dan perintah berkuasa itu harus datang daripada FIFA bukan LFA.

”Ini kerana sebelum kes ini, saya dan LFA mempunyai sedikit masalah . Apa yang pasti, saya mahu mendapatkan keadilan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, selain Ramez dan Mahmoud yang digantung seumur hidup, LFA turut menggantung dua pemain, Hasi Sehmarani dan Hadi Jaafar selama tiga musim sementara 20 pemain yang didapati bersalah dikenakan pengantungan satu musim.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Siasatan merangkap Setiausaha Agung Bola Sepak Asia Barat, Fadi Zureikat di ibu pejabat LFA di Beirut, kelmarin selepas menghabiskan masa 174 jam dengan menyoal siasat 65 saksi, 44 pemain, tiga pengadil dan 18 pegawai.
-kosmo

2 comments:

  1. Kalau sah penggantungannya, boleh ke dia main tuk selangor lagi?

    ReplyDelete
  2. kalau LFA yang bt kputusan, blh lg tapi atas pgurusan selangor la pulak, tp kalau FIFA pun cakap dia bersalah, tanam jagung la pastu :P

    ReplyDelete